MELAKA – “Sebelum ini memang pernah juga saya jual ‘gummy ball’ (gula-gula kenyal) kerana disukai murid sekolah namun kini tidak lagi kerana sedar akan bahayanya,”.
Itu dikongsikan peniaga kedai runcit dan jajan berhampiran Sekolah Kebangsaan Semabok di sini, Aminin Khairul Anuar, 30, mengenai risiko gula-gula kenyal itu yang boleh menyebabkan tercekik dan sukar bernafas sehingga membawa kematian.
Menurutnya, tidak dinafikan gula-gula berkenaan mendapat sambutan tinggi dalam kalangan kanak-kanak kerana bentuknya yang menarik antaranya seperti bebola mata.

Aminin Khairul Anuar
“Dulu memang ada orang (pembekal) hantar dan ia sangat disukai kanak-kanak kerana tarikan pelbagai bentuk termasuk seperti mata dan rasanya yang kenyal.
“Tapi bila menyedari risiko bahayanya, saya hentikan penjualan kerana tak berbaloi (keuntungan) berbanding untuk kesihatan dan keselamatan budak sekolah di sini,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di sini hari ini.
Menurut Aminin setiap peniaga tidak seharus memikirkan keuntungan semata-mata sebaliknya harus memikirkan kesan buruknya kepada kanak-kanak yang masih kecil.
“Benda itu (gula-gula kenyal) memang bahaya boleh jadi tercekik dan mengakibatkan kematian terutama bagi kanak-kanak bawah 10 tahun sebab itu setiap peniaga perlu lebih peka dengan produk jualan.
“Lebih baik jual jajan dari jenama yang sudah dikenali bukannya terikut-ikut dengan trend semasa,” katanya yang sudah beroperasi di situ sejak empat tahun lalu.
ARTIKEL BERKAITAN
https://malaysiagazette.com/2025/02/21/kanak-kanak-tercekik-gula-gula-gummy-mata-meninggal-dunia/
Sebelum ini media melaporkan, seorang murid Tahun 4 kritikal di Hospital Pulau Pinang (HPP) selepas dipercayai tercekik gula-gula kenyal berbentuk mata dalam kejadian kira-kira 2.30 petang Selasa lalu.
Mohamad Fahmi Hafiz Mohammad Fakhruddin, 10, yang dirawat di Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU) HPP bagaimanapun menghembuskan nafas terakhir kira-kira pukul 11 malam semalam. – MalaysiaGazette