IPOH – Kerajaan Negeri Perak sentiasa meletakkan kesejahteraan rakyat sebagai teras utama, dan komitmen ini diterjemahkan dalam bentuk pelaksanaan termasuklah pemberian Kad Perak Sejahtera kepada lebih 19,000 Ketua Isi Rumah (KIR) miskin tegar, miskin dan B40.
Program berkenaan bukan hanya sekadar bantuan kewangan bernilai RM100 setiap bulan yang membolehkan pembelian keperluan asas harian digunakan penerima di 291 kedai dan pasaraya panel berdaftar malah merupakan satu bentuk sokongan berterusan bagi memastikan keperluan asas rakyat sentiasa terjamin.
Bagi suri rumah, Sharifah Nor Syahirah Syed Zaharul, 28, pemberian Kad Perak Sejahtera kepada keluarganya membantu meringankan beban suami yang bekerja sendiri dalam menyediakan keperluan asas seperti beras, telur, gula, tepung dan lain-lain.
Ibu kepada tiga cahaya mata berusia empat hingga tujuh tahun itu berkata, suaminya Mohamad Akmal Azimi, 30, telah mengemukakan permohonan pada tahun lalu selepas dimaklumkan keluarga mereka.

“Alhamdulillah kami tidak sangka dipilih menerima bantuan ini dan amat membantu mengurangkan beban meskipun jumlahnya RM100 tetapi bersyukur sebab harga barang makin lama makin naik.
“Terima kasih diucapkan kepada Menteri Besar dan kerajaan negeri membantu golongan miskin seperti kami dan saya doakan Perak sentiasa aman dan sejahtera,” katanya.
Dia berkata demikian kepada Malaysia Gazette (MG) Perak ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Kad Perak Sejahtera di Dewan Bankuet, Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, pada Sabtu.
Seorang lagi penerima, Primala Devi, 55, menzahirkan rasa gembira diberi peluang menerima bantuan Kad Perak Sejahtera memandangkan dia merupakan ibu tunggal kepada empat cahaya mata.

Katanya, dia membelanjakan sekitar RM300 sebulan bagi memberi barang keperluan termasuk beras, gula, telur dan lain-lain lagi.
“Bagi saya RM100 sebulan ini membantu saya berjimat membeli barang makanan kering dan basah terutamanya beras, minyak dan lain-lain. Terima kasih saya ucapkan,” katanya.
Bagi warga emas Wong Leong Toh, 63, pemberian Kad Perak Sejahtera untuk perbelanjaan dia dan isterinya amat diperlukan meskipun menerima bantuan kotak makanan.

“Sudah empat kali saya terima bantuan kotak makanan tapi tidak semua makanan saya dan isteri pakai jadi bila ada lebih kami beri pada jiran-jiran yang memerlukan.
“Bila terima kad bantuan RM100 ini kami boleh beli barang makanan yang benar-benar diperlukan. Terima kasih saya ucapkan,” katanya.
Untuk rekod seramai 19,012 Ketua Isi Rumah (KIR) telah menerima manfaat Kad Perak Sejahtera bernilai RM100 sebulan setakat Februari 2025. -MG Perak
Artikel Berkaitan:
MGPerak: 19,012 KIR Terima Manfaat Kad Perak Sejahtera Bernilai RM100 Sebulan
Perak antara penerima STR tertinggi