Gambar ihsan JBPM

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki kurang upaya maut selepas dipercayai terjatuh ke landasan LRT Titiwangsa sebelum dilanggar kereta api dalam satu kejadian di sini pagi tadi.

Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan I Fadil Hesam Mohd berkata Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur menerima panggilan kecemasan kira-kira 8.38 pagi tadi, melalui sistem MERS-999 memaklumkan penemuan mayat itu.

Beliau berkata, mangsa seorang lelaki berbangsa Cina yang merupakan seorang OKU penglihatan, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Kejadian ini dipercayai berlaku akibat kehilangan keseimbangan mangsa yang terjatuh tanpa disedari pemandu kereta api,” katanya dalam kenyataan.

Fadil Hesam berkata pihak berkuasa sedang meneruskan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian itu dan memeriksa rekod operasi tren pada waktu kejadian.

Beliau berkata proses pengalihan mayat sedang dilaksanakan dengan teliti oleh pihak berkuasa bagi memastikan keselamatan dan kelancaran operasi penyiasatan, selaras dengan semua prosedur operasi standard (SOP) yang telah dipatuhi.

Sementara itu, Rapid Rail Sdn Bhd telah mengambil langkah keselamatan dengan menyahaktifkan bekalan kuasa di stesen berkenaan bagi memberi laluan kepada pasukan penyelamat, polis dan pasukan perubatan.

Akibat kejadian itu, perkhidmatan di Stesen PWTC, Titiwangsa, Sentul dan Sentul Timur terjejas buat sementara waktu dan perkhidmatan rel alternatif, termasuk perkhidmatan bas perantara percuma, telah diaktifkan untuk menyokong operasi penyelamatan.

Pihak berkuasa kini sedang meneruskan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian serta mengambil tindakan yang sewajarnya. Siasatan turut akan melibatkan pemeriksaan rekod operasi keretapi pada waktu kejadian.

Sebarang perkembangan lanjut akan dikemas kini menerusi laman media sosial Rapid KL serta pengumuman di stesen.- BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here