KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh mengingatkan bekas Duta Malaysia ke Amerika Syarikat (AS), Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz yang mana sayap parti itu bukan `penjilat cari makan’.
Sebaliknya, tegas Muhamad Akmal, sayap Pemuda UMNO mempunyai tanggungjawab untuk menjaga agama dan bangsa, bukannya sibuk `menjilat’ untuk kepentingan diri.
“Jika kamu nak menjilat, silakan.
“Jangan samakan kamu dengan kami.
“Mana tahu lepas ini boleh dapat jadi duta ke Myanmar pula,” katanya sinis menerusi catatan di laman sosial Facebook beliau hari ini.
Kenyataan itu sebagai reaksi kepada kenyataan Mohamed Nazri seperti yang dilaporkan sebuah portal berita yang menyifatkan Pemuda UMNO hari ini hanya mewakili sebahagian kecil suara orang Melayu, justeru boleh diabaikan sahaja.
Mohamed Nazri membuat kenyataan itu ketika ditanya pandangan berkenaan Muhamad Akmal yang sering mengambil pendirian lebih keras berbanding Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dalam beberapa isu yang menjejaskan hubungan dengan parti dalam Kerajaan Perpaduan, terutama DAP.
Sementara itu, Muhamad Akmal mempersoalkan sama ada Mohamed Nazri beranggapan beliau mewakili sebahagian besar suara orang Melayu berikutan kenyataannya tersebut.
“Mungkin kamu dah lupa, yang kamu bukan berada di Amerika (AS) lagi sebab kontrak tidak disambung lagi.
“Saya nak ingatkan bahawa kamu kini berada di Malaysia yang bangsa majoritinya adalah bangsa Melayu dan agama Islam adalah agama Persekutuan.
“Maka tanggungjawab kami pemuda UMNO menjaganya dan mempertahankannya,” katanya. – MalaysiaGazette