KUALA LUMPUR – Keputusan mengkategorikan sekolah menunjukkan dasar pendidikan negara semakin keliru dan tidak jelas dengan hala tuju serta masa depan, kata Pakar Pendidikan, Dr. Anuar Ahmad.
Jelas beliau yang juga Timbalan Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), langkah mengkategorikan sekolah bertentangan dengan dasar pemansuhan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) yang kononnya tidak mahu murid dan pelajar tertekan dengan peperiksaan.
Namun, kini, ujarnya, tekanan kepada guru-guru dan murid-murid akan lebih meningkat menerusi langkah itu semata-mata untuk mencapai ranking kategori sekolah yang diperkenalkan.
“Di satu keadaan, kita mansuhkan UPSR dan PT3, kononnya tak mahu anak-anak ‘stress’, tetapi di satu keadaan lain, kita bina dan budayakan pula ranking sekolah mengikut gred berdasarkan prestasi akademik, infra, kepimpinan sekolah dan sebagainya.
“Apa yang pasti ‘ranking sekolah’ akan menyebabkan budaya bertanding berleluasa selepas ini.
“Matlamat persekolahan selepas ini bukan lagi tentang keseronokan anak-anak belajar tetapi lebih kepada usaha bagaimana untuk naikkan gred sekolah, dari sekolah fokus kepada sekolah aspirasi dan seterusnya ke sekolah inspirasi,” katanya menerusi catatan di laman sosial Facebook beliau hari ini.
Beliau mengulas mengenai langkah Kementerian Pendidikan (KPM) yang akan akan membahagikan sekolah kepada tiga kategori iaitu Sekolah Fokus, Sekolah Aspirasi dan Sekolah Inspirasi dalam usaha memperkukuh sistem pendidikan negara.
Sementara itu, Anuar berkata, beliau secara peribadi berpandangan ranking sekolah menerusi pengkategorian tidak perlu dipromosikan, sebaliknya memadai digunakan hanya sebagai urusan dalaman KPM.
Apatah lagi, ujar beliau, KPM ketika ini juga sudah sudah mempunyai semua data keperluan setiap sekolah di negara ini.
“Cukuplah dengan semua data itu digunakan sebagai panduan ketika menyediakan peruntukan.
“Yang penting, beri peruntukan yang lebih besar kepada sekolah yang daif. Jadi apa perlu diwarwarkan (uar-uar) ‘ranking‘ sekolah?” katanya.
Dalam pada itu, tegas beliau, dasar memajukan sekolah tidak memerlukan kepada budaya ranking kerana sekolah bukan untuk dipertandingkan.
“Kemudahan semua sekolah sepatutnya dilengkapkan tanpa mengira lokasi. Kembalilah pada tujuan asas, mengapa sekolah diwujudkan?” katanya. – MalaysiaGazette