Shahir Adnan

KUALA LUMPUR – Kerajaan khususnya Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) digesa memperkasakan Akta Kawalan Padi dan Beras (Akta 522) bagi menangani isu kekurangan beras tempatan ketika ini.

Pengerusi Hak Konsumer Sejahtera (HAKS), Shahir Adnan berkata, akta itu seharusnya ditambah baik dengan menyenaraikan kesalahan mencampurkan beras tempatan dan beras import.

Dalam masa sama, ujar beliau, penguatkuasaan juga perlu diperkasakan supaya kilang-kilang tidak mengambil kesempatan dengan isu harga siling beras.

“Sudah dua tahun (Datuk Seri Mohamad Sabu) memegang portfolio Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, namun isu beras tempatan masih tidak dapat diselesaikan dan berlarutan hingga kini.

“Apa yang asyik terpacul dari mulut Menteri adalah kajian demi kajian mahu dilaksanakan.

“Rakyat tidak akan kenyang dengan kajian-kajian yang tiada tindakan. Adalah tidak logik hilangnya beras tempatan dari pasaran selama dua tahun,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Shahir berpandangan, beras tempatan pada hakikatnya tidak hilang tetapi tidak boleh dijual kerana harga kos yang tinggi.

Katanya, pengusaha kilang padi akan menanggung kerugian apabila terpaksa akur dengan harga kawalan yang ditetapkan kerajaan itu RM26 untuk 10 kilogram (kg) atau bersamaan RM2,600 se tan.

“Sebelum ini, kilang beli harga tinggi kerana kilang mencampur beras disebabkan ura-ura satu jenis beras iaitu Beras Putih Madani, namun ia tidak diteruskan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Lambat sungguh kalau nak tunggu lulus ubah akta baru nak ambil tindakan. Agensi terbabit, serbu saja buat audit dan pemeriksaan. Lepas tu cerita dlm media syarikat mana yg dok campur beras. Biar yakyat yang ambil tindakan. Nak boikot ka apa ka oleh rakyat, tak perlu akta

Comments are closed.