Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang, Dr Mohd Aleef Yusof

KUALA LUMPUR – Tiada keperluan untuk membina Jejantas Tun Teja bernilai RM8 juta sedangkan rakyat Melaka terus dibelenggu dengan masalah banjir dan keperluan asas yang masih tidak diselesaikan sejak sekian lama.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang, Dr Mohd Aleef Yusof mendakwa rakyat Melaka sudah meluat dan marah dengan tindakan kerajaan negeri yang lebih gemar membuat publisiti dan pembaziran wang rakyat berbanding masalah rakyat.

“Apa guna ada jejantas RM8 juta kalau hingga ke hari ini masalah banjir masih lagi berlaku. Sabtu lalu rasmi jejantas RM8 juta, namun Ahad pula kawasan Krubong banjir.

“Kerajaan sepatutnya mengutamakan penyelesaian masalah dan membantu rakyat berbanding melakukan pembaziran dan tidak mendatangkan hasil yang baik untuk rakyat negeri ini.

“Sudah pasti rakyat Melaka tidak gembira dengan pembaziran yang dilakukan ini,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Sabtu lalu, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Abdul Rauf Yusoh merasmikan Jejantas Tun Teja sebagai satu lagi ikon pelancongan Bandaraya Melaka.

Jejantas Tun Teja yang bersebelahan Melaka Sentral menelan kos ubah suai dan naik taraf berjumlah RM7.9 juta itu, dapat memberi kelegaan kepada peniaga di kawasan bandar.

Bagaimanapun sehari selepas itu, media melaporkan beberapa kawasan di Melaka termasuk Taman Krubong Jaya dilanda banjir kilat.

Selain itu, Dr Aleef kesal apabila ketua menteri gagal memberi penjelasan berkenaan jejantas itu apabila perkara itu dibangkitkan dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka yang lepas.

“Walaupun saya mendesak penjelasan dibuat khususnya dengan nilainya yang begitu tinggi dan tidak masuk akal namun dalam penggulungan Ketua Menteri, beliau langsung tidak menjelaskan berkenaan isu itu.

“Inilah kelemahan ketua menteri, beliau tak tahu untuk berbahas dengan baik apatah lagi untuk memberikan penjelasan di dalam DUN Melaka,” katanya.

Lebih malang, katanya, ikon pelancongan baharu bagi Bandaraya Melaka bukan sesuatu yang perlu dibanggkan kerana beliau mendakwa, ia satu lagi produk yang ditiru daripada Pintasan Saloma di ibu negara.

“Cara kerajaan negeri yang sewenangnya copy paste produk pelancongan dari luar juga amat merungsingkan kerana ia membawa kerugian kepada rakyat!

“Jejantas RM8 juta ini pula copy paste daripada jejantas yang bersebelahan KLCC, sedangkan Jejantas Tun Teja dekat Melaka Sentral dalam keadaan begitu usang dan teruk sekali,” katanya.

Dakwanya lagi, selain Pintasan Saloma banyak lagi ikon pelancongan yang menjadi mangsa copy paste diwujudkan di Melaka termasuk pasar terapung di Sungai Melaka.

“Pasar terapung Melaka kini tidak mendatangkan hasil malah mendatangkan kerugian. Taman Laut di Gugusan Pulau di Umbai juga menerima nasib sama yang akhirnya memberi tekanan kepada nelayan tempatan yang tidak lagi menangkap ikan di kawasan sekitar.

“Malah banyak lagi tindakan kerajaan negeri sebenarnya menyusahkan rakyat,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here