KUALA LUMPUR – Indah khabar dari rupa!
Itu ungkapan sekumpulan penduduk yang kecewa dengan kediaman mereka di 99 Residence di Jalan Seri Utara dekat sini.

Penduduk mendakwa, pada awalnya mereka dijanjikan sebuah kondominium mewah setinggi 54 tingkat dilengkapi pelbagai kemudahan moden antaranya sistem keselamatan lapan peringkat, gimnasium bertaraf tinggi serta pemandangan menghadap ke ibu kota.
Semasa tinjauan MalaysiaGazette di kondominium berkenaan baru-baru ini, penduduk membawa kami melihat sendiri fasiliti yang disediakan serta membangkitkan beberapa masalah yang timbul meskipun hartanah tersebut baru sahaja siap diduduki setahun yang lalu.

Salah seorang penghuni, Matan Sukumaran berkata, dia membeli sebuah unit kondominium berkenaan untuk memulakan alam rumah tangga bersama isteri.
Bagaimanapun, beliau mendakwa kualiti dan standard kondominium berharga lebih setengah juta ringgit itu amat mengecewakannya.

“Sejujurnya saya amat kecewa. Kadangkala saya malu nak bawa saudara mara saya datang ke kondo yang dikatakan ‘mewah’ ini.
“Harga bagi unit yang saya beli ini adalah RM680,000 manakala bayaran penyelenggaraan pula sebanyak RM480 sebulan. Dengan bayaran itu, saya mengharapkan fasiliti pada tahap lebih baik.

“Lebih menyedihkan, sistem perpaipan yang tidak kemas menyebabkan tandas di setiap unit berbau walaupun dicuci hampir setiap hari malah siling tandas mula berkulat akibat masalah kelembapan.
“Masalah ini bukan saya sahaja yang hadapi kerana hampir setiap unit sering mengadukan isu yang sama. Pelbagai cara telah kami lakukan termasuk menggunakan pewangi bilik dan mencuci hampir tiap hari tetapi masih berbau.
“Perkara ini memang mengganggu kehidupan kami terutamanya pada waktu malam kerana tandas mengeluarkan bau yang sangat busuk,” tambahnya sambil menunjukkan kesan kulat di bahagian siling bilik airnya.

Seorang lagi penduduk, Ramla Shaul Hameed pula mempersoalkan faktor keselamatan di sky deck kerana palang di bahagian beranda didakwanya terlalu rendah ditambah dengan kerusi yang diletakkan berhampiran.
Katanya, ia amat merbahaya terutama kepada kanak-kanak.

“Saya pernah mengalami detik cemas apabila anak saya yang pada ketika itu berumur dalam lingkungan tujuh tahun memanjat kerusi tersebut.
“Sekiranya leka walaupun sesaat, kemungkinan besar boleh berlaku tragedi,” tambahnya.

Penduduk lain, Narenjit Kaur sudah banyak kali mengajukan masalah berkenaan jubin rumah yang dipasang pihak pemaju tetapi masih tiada tindakan susulan diambil.
Dia mendakwa, jubin yang digunakan pihak pemaju adalah gred rendah.

“Bila saya mengadu lagi dan mahu mengambil tindakan undang-undang mereka mula bertindak menukar jubin tetapi ia masih mengecewakan kerana dengan kualiti yang sama.
“Tetapi bila mereka baiki ia menjadi lebih teruk dari sebelumnya.
“Jubin lantai yang digunakan seperti gred rendah, tidak boleh berkilat walaupun telah digilap dan dicuci hari-hari.
“Kualiti yang digunakan untuk membancuh simen amat rendah sehingga ia menyebabkan senang berlaku retakan di bahagian dinding. Saya sudah cat banyak kali tetapi masih lagi retak dan apabila diajukan kepada pihak pemaju, mereka telah menyuruh penduduk membaiki sendiri,” dakwanya.
Selain itu, masalah lain yang dihadapi penduduk adalah jumlah lif yang disediakan hanya lima sedangkan setiap blok mempunyai 54 tingkat dan tidak cukup untuk menampung keperluan penduduk yang ramai.

Seorang lagi penduduk, Rizal Rahim berkata, salah satu lif di setiap blok kini telah disita dan menyebabkan hanya ada tiga sahaja lif yang berfungsi.
“Malahan lif yang ada pun selalu rosak. Pernah ada kejadian di mana wanita mengandung lapan bulan terperangkap di dalamnya.

“Sekarang, sekiranya kami perlu ke tempat kerja atau menghantar anak ke sekolah, kami kena keluar sebelum pukul 6 pagi atau kami akan lambat melakukan tugasan harian,” dakwanya.
Penduduk berharap pemaju segera mengambil tindakan sewajarnya dan menunaikan janji yang diberikan sebelum ini.

Sebagai sebuah kondominium baharu yang baru berusia setahun, mereka tidak menyangka akan berdepan dengan pelbagai masalah yang sepatutnya tidak berlaku dalam sebuah kediaman mewah.

Bagi kebanyakan penghuni, rumah ini adalah istana impian yang dibeli dengan harapan untuk menikmati kehidupan yang selesa dan selamat.

Namun mereka berpendapat, realiti hartanah yang dimiliki itu jauh daripada jangkaan.
“Kami bukan minta lebih, cuma mahukan apa yang telah dijanjikan. Ini rumah kami, tempat kami membesarkan anak-anak. Keselamatan dan keselesaan bukan perkara yang boleh dikompromi,” kata Rizal.

Mereka berharap pihak pemaju tidak terus lepas tangan dan segera menyelesaikan masalah yang dihadapi sebelum keadaan menjadi lebih teruk.

MalaysiaGazette sudah pun mengajukan isu ini kepada pihak pemaju. Nantikan siri kedua laporan ini. – MalaysiaGazette