KUALA LUMPUR – Isu berkaitan fitnah merupakan satu perkara yang merentasi parti politik.
Berikutan itu, wakil-wakil rakyat perlu menjadi contoh kepada orang ramai dengan menyemak sesuatu perkara sebelum menyebarkannya, kata Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.
“Itu yang saya sebut tadi, isu fitnah ini merentasi parti, isu politik.
“Tapi, tak boleh nafi ada sejumlah pemimpin dari parti tertentu yang kalau kita tengok, kalau dikumpulkan maklumatnya memang kerap menjadi pembayar denda dalam isu fitnah ini,” katanya pada sesi penggulungan titah diraja di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab celahan RSN Rayer (PH-Jelutong) yang bertanyakan berapa cepat ucapan-ucapan berunsur fitnah di media sosial boleh disekat oleh pihak kementerian.
Rayer mengaitkan perkara itu dengan pimpinan Pas yang didakwa sering melakukannya walaupun disaman berkali-kali.
Beliau mengambil contoh sikap Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria apabila mendakwa Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh mempunyai kaitan dengan keluarga Pengasas Kumpulan YTL, mendiang Tan Sri Dr Yeoh Tiong Lay.
Katanya, selepas tuduhan dibuat Razman kemudian tiba-tiba memohon maaaf selepas menyedari perkara yang dibangkitkan mendapat pendedahan.
“Jadi, persoalan saya, kita lihat pihak lawan terutamanya Pas sentiasa mengulangi (fitnah) walaupun disaman berulang kali. Tapi, anehnya mereka dapat kutip wang untuk bayar pampasan,” katanya. – MalaysiaGazette