Cikgu Hamdan dikatakan meninggalkan rumahnya di Felda Kemelah, Segamat pada minggu lalu dan hilang dalam perjalanan ke sekolah.

SEGAMAT – Misteri kehilangan seorang guru Sekolah Kebangsaan (SK) Jementah sejak Isnin minggu lalu masih tidak dapat dirungkai kerana sehingga kini tiada sebarang petanda ditemui.

Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Ahmad Zamry Marinsah berkata, kehilangan Hamdan Hamzah, 46, terus menjadi tanda tanya walaupun pelbagai usaha telah dilakukan bagi mengesan guru terbabit.

“Ini termasuk melalui kenalan rapatnya namun sehingga kini tiada perkembangan baharu diperoleh. Setakat ini, polis masih belum menerima sebarang maklumat mengenai keberadaan Cikgu Hamdan,” katanya ketika ditemui hari ini.

Sementara itu jirannya, Junaidah Samsudin, 60, berkata, berita kehilangan Cikgu Hamdan yang tular dalam media sosial sejak minggu lalu menggemparkan penduduk Felda Kemelah.

Cikgu Hamdan dikatakan meninggalkan rumahnya di Felda Kemelah, Segamat pada minggu lalu dan hilang dalam perjalanan ke sekolah.

Ini kerana Cikgu Hamdan amat dikenali penduduk memandangkan keluarganya sudah lama tinggal di Felda Kemelah.

Junaidah memberitahu, ada melihat motosikal di rumah Hamdan sehari sebelum dia dilaporkan hilang.

“Ya, hari itu saya nampak motosikalnya masih di rumah tetapi keesokannya kami dapat tahu dia sudah dilaporkan hilang. Ada penduduk beritahu, ahli keluarganya turut mencarinya hingga ke Melaka. Kami berharap dia segera ditemui dalam keadaan selamat,” katanya.

Dia memberitahu, penduduk Felda Kemelah sudah melakukan pelbagai usaha untuk mengesan Hamdan termasuk menyusuri jalan yang sering dilaluinya untuk ke sekolah.

Selain itu  bacaan doa dan solat hajat diadakan bagi memohon supaya urusan pencarian dipermudahkan.

Sebelum ini, polis meminta kerjasama orang ramai bagi mengesan seorang guru lelaki yang dilaporkan hilang sejak 17 Februari lalu.

Hamdan Hamzah beralamat di Felda Kemelah di sini kali terakhir dilihat ketika keluar dari kediamannya sekitar pukul 5.15 pagi untuk ke tempat kerja di SK Jementah.

Mangsa ketika itu dikatakan menaiki motosikal jenis Yamaha Ego dengan nombor pendaftaran DEL 9426.

Kehilangan guru berkenaan dilaporkan abangnya pukul 6.22 petang Rabu.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai guru terbabit diminta segera menghubungi Pegawai Penyiasat, Sarjan Mejar Shamsuddin Ramli 07-92799222 atau hadir ke balai berhampiran. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here