kenderaan kerajaan Malaysia CPI budaya politik imigresen sempadan rakyat rasuah
Jais Abdul Karim

KUALA LUMPUR – Kerugian serta kegagalan anak syarikat kerajaan tidak boleh dibiarkan berterusan tanpa tindakan tegas memandangkan Malaysia merupakan negara yang menitikberatkan integriti dan ketelusan dalam pengurusan kewangan awam.

Sehubungan itu, Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, mana-mana individu yang didapati bertanggungjawab atas kerugian berulang dalam anak syarikat kerajaan perlu dikenakan tindakan undang-undang termasuk siasatan terhadap kemungkinan unsur penyelewengan dan salah guna kuasa.

Di samping itu, ujar beliau, mekanisme penguatkuasaan seperti peranan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Audit Negara perlu diperkukuh untuk memastikan akauntabiliti dalam pengurusan dana awam.

“MCW menyeru kerajaan untuk mengambil langkah reformasi segera bagi memastikan pengurusan syarikat berkaitan kerajaan lebih berdaya saing, telus dan bertanggungjawab kepada rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau mengulas mengenai pendedahan Laporan Ketua Audit Negara yang menunjukkan hampir 40 peratus anak syarikat agensi kerajaan Persekutuan mengalami kerugian pada tahun 2023, dengan jumlah keseluruhan mencecah RM2.8 bilion.

Lebih membimbangkan, 21 anak syarikat di bawah lima agensi telah mengalami kerugian selama tiga tahun berturut-turut, mencerminkan kegagalan tadbir urus, kelemahan pemantauan serta kurangnya akauntabiliti kewangan.

Menurut Jais, pendedahan berkenaan kerugian anak syarikat agensi kerajaan itu jelas menunjukkan wujudnya kelemahan sistemik dalam tadbir urus serta pemantauan kewangan yang tidak berkesan.

Katanya, ketiadaan tindakan pembetulan awal dan campur tangan yang tepat membuktikan bahawa mekanisme kawal selia sedia ada tidak berfungsi secara efektif.

“Jika keadaan ini berterusan, ia bukan sahaja merugikan dana awam tetapi juga melemahkan kepercayaan rakyat terhadap pengurusan kewangan kerajaan,” katanya.

Dalam masa sama, Jais berpandangan tahap ketelusan pelaporan kewangan anak-anak syarikat kerajaan ketika ini masih berada pada tahap rendah.

Katanya, banyak syarikat kerajaan gagal membuat pendedahan kewangan yang jelas dan terperinci, menjadikan pemantauan terhadap syarikat terbabit lebih sukar.

Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan mewajibkan pendedahan kewangan yang lebih ketat serta memastikan semua anak syarikat agensi kerajaan menjalani audit bebas secara berkala bagi mengelakkan ketirisan dan salah urus kewangan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here