LENGGONG – Larut, Matang & Selama (LMS) FA muncul juara Liga Perak Sejahtera Piala Menteri Besar Perak 2024/2025 selepas menewaskan Kerian FA dalam perlawanan berlangsung di Padang Astaka Bunga Raya Majlis Daerah Lenggong, malam tadi.
Kemenangan itu diraih menerusi jaringan pembukaan oleh Mohd Irwan Ardi Putra Zainal Abidin pada minit ke-32 dan jaringan kemenangan dihasilkan Kapten LMS FA, Muhammad Amirul Izwan Mohd Baki pada minit ke-75.
Manakala, jaringan tunggal Kerian FA disumbangkan oleh Mohamad Zulkifli Maheran pada minit ke-58.
Kemenangan LMS FA membolehkan mereka membawa pulang wang tunai berjumlah RM10,000 dan piala pusingan manakala Kerian FA yang menjadi naib juara menerima RM7,000.
Hilir Perak FA dan Ipoh FA yang berkongsi kedudukan ketiga masing-masing menerima wang tunai berjumlah RM2,000.
Kesemua peserta turut menerima pingat pada kejohanan tersebut.
Penjaga gol LMS FA pula dinobatkan sebagai pemain terbaik Muhammad Aiman Zulkefli.
Sementara itu, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, kejohanan ini secara tidak langsung berjaya mencungkil bakat muda daripada Perak dalam bidang bola sepak.
Menurutnya, pertandingan yang bermula pada 3 Januari lalu berlangsung di beberapa venue mengikut zon di seluruh negeri ini dan di peringkat suku akhir, separuh akhir dan akhir dijalankan di Lenggong.
“Jadi, kepada saya ia satu penganjuran yang baik, di mana kita dapat melihat semua persatuan bola sepak daerah-daerah yang berdaftar dengan PAFA (Persatuan Bola Sepak Perak) mengambil bahagian.
“Dimaklumkan ada 14 pasukan mengambil bahagian melibatkan 450 orang pemain termasuk pegawai dan sepanjang kejohanan berlangsung tiada perkara yang tidak diingini berlaku.
“Justeru, kita berharap kalau kita mula dapat mengetengahkan dan mempromosikannya makna tahun-tahun akan datang, ia akan menarik lebih banyak penyertaan.
“Selain itu, lebih ramai bakat-bakat kita akan mula berkumpul untuk mengembalikan kegemilangan bola sepak negeri Perak,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas selesai perlawanan akhir itu semalam.
Hadir sama, Presiden PAFA, Datuk Mohd Azhar Jamaluddin; Timbalan Presiden PAFA, Datuk Sham Mat Sahat dan Presiden Persatuan Bola Sepak Daerah Lenggong, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah.
Terdahulu, sebelum kejohanan berlangsung semua bertafakur sebagai memberi penghormatan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Kuning, Allahyarham Ishsam Shahruddin yang juga bekas pemain bola sepak kebangsaan yang meninggal dunia pada Sabtu lalu. – MalaysiaGazette