Mohd Haffiz semasa mempengerusikan Mesyuarat Penuh MBJB di Menara MBJB, Bukit Senyum, Johor Bahru, hari ini.

JOHOR BAHRU – Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) menggalakkan peniaga Bazar Ramadan menawarkan Menu Rahmah dalam usaha meringankan beban keluarga yang kurang berkemampuan.

Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Mohd Haffiz Ahmad berkata, langkah itu supaya lebih ramai warga bandar raya ini dapat menikmati juadah berbuka puasa di bazar-bazar Ramadan kawasan MBJB.

“Para peniaga juga dinasihatkan untuk menjual makanan yang berkualiti, berkhasiat, bersih serta dengan harga yang berpatutan, agar bazar di Johor Bahru ini menjadi bazar contoh dan tumpuan pelancong dari dalam dan luar negara setiap kali menjelang bulan puasa dan Aidilfitri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Mesyuarat Penuh MBJB di Menara MBJB, Bukit Senyum, di sini, hari ini.

Mohd Haffiz memberitahu, MBJB meluluskan permohonan penganjuran bazar Ramadan dan Aidilfitri melibatkan 3,072 petak di 57 lokasi sekitar bandar raya ini, tahun ini.

Daripada jumlah itu katanya, sebanyak 48 kawasan melibatkan 2,688 petak telah diluluskan bagi bazar Ramadan dan sembilan kawasan dan 384 petak bagi bazar Aidilfitri.

“Para peniaga dinasihatkan untuk mematuhi syarat-syarat kesihatan seperti memakai apron dan sarung tangan, tidak membungkus menggunakan bekas polisterine atau surat khabar.

“Para peniaga bazar juga dinasihatkan untuk sentiasa menjaga kebersihan persekitaran bazar, mengambil suntikan anti-typhoid serta mematuhi arahan pelesenan yang berkuatkuasa.

“Saya ingin mengingatkan kepada semua pihak penganjur agar dapat memastikan dan dapat mengambil tindakan ke atas semua peniaga-peniaga yang di bawah kelolaan masing-masing,” katanya.

Permohonan Bazar Ramadan dan Aidilitri Bagi Tahun 2025 (Penganjuran Ekspo, Pemit Khemah Sementara Hadapan Kedai) dibuka kepada umum sejak 15 Disember hingga 10 Januari lalu.

Mohd Haffiz menegaskan, peniaga-peniaga itu perlu dipastikan mematuhi setiap syarat-syarat pelesenan yang telah ditetapkan dan sentiasa memaparkan lesen ketika di tapak perniagaan masing-masing.

Sekiranya terdapat perniagaan warga asing yang berniaga di tapak perniagaan, penganjur diminta untuk memaklumkan Jabatan Penguatkuasaan MBJB dengan kadar segera, katanya.

“Untuk makluman semua, operasi dan pemantauan bazar ini akan dijalankan dari semasa ke semasa oleh MBJB bagi memastikan arahan pelesenan dipatuhi oleh semua pihak.

“Sekiranya terdapat pelanggaran syarat pelesenan yang serius, MBJB tidak akan teragak-agak untuk menarik semula hak penganjuran bazar Ramadan tersebut,” ujarnya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here