Noraini (tengah) menyaksikan simbolik Majlis Perasmian Program Sambutan Hari Wanita peringkat Antarabangsa untuk Zon Selatan di Aeon Dato' Onn, Johor Bahru, hari ini.

JOHOR BAHRU – Semua Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) bawah kendalian GISB Holdings (GISBH) masih tidak beroperasi sehingga kini.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, terdapat pelajarnya juga sudah dikembalikan kepada keluarga masing-masing selepas taska itu ditutup.

“Kita dimaklumkan bahawa tiada taska berkaitan GISBH tengah beroperasi sekarang ini. Kami dimaklumkan tiada (yang beroperasi).

“Kita selamatkan ramai kanak-kanak (dalam Op Global), ada setengahnya sudah dikembalikan semula kepada keluarga mereka.

“Setakat ini di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) ada 13 kanak-kanak yang diselamatkan dalam Op Global ditempatkan di institusi bawah JKM.

“Kesemua mereka ini berumur 18 tahun ke bawah menjalani aktiviti berkaitan termasuk bersekolah seperti biasa pada 17 Februari lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Program Sambutan Hari Wanita peringkat Antarabangsa untuk Zon Selatan di Aeon Dato’ Onn, di sini, hari ini.

Sementara itu, Noraini dalam ucapannya memberitahu, remaja perempuan di negara ini berdepan risiko menghidap masalah kesihatan mental sehingga dua kali ganda berbanding remaja lelaki.

Katanya, tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023 merekodkan kira-kira 4.6 peratus atau satu juta remaja yang berusia 15 tahun ke atas di negara ini mengalami kemurungan.

“Data sama bagi tahun 2022 pula menunjukkan bahawa ‘prevalens’ atau kelaziman remaja yang memenuhkan kriteria kemurungan adalah lebih tinggi dalam kalangan perempuan berbanding lelaki iaitu 36.1 peratus berbanding 17.7 peratus.

“Justeru itu KPWKM menganjurkan program ‘Jiwa Kuat, Wanita Sihat’ bagi menggambarkan cabaran dihadapi golongan wanita masa kini dan kepentingan keseimbangan fizikal, mental dan kesejahteraan emosi bagi membolehkan wanita menyumbang kepada pembangunan negara bangsa,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast