Madervan didakwa atas empat pertuduhan di Mahkamah Sesyen Butterworth, Pulau Pinang hari ini.

BUTTERWORTH – Seorang pemilik syarikat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas empat pertuduhan mengemukakan dokumen geran latihan mengandungi butir matan palsu bernilai RM39,692 kepada ejen Human Resource Development Corporation (HRD Corp) empat tahun lalu.

Tertuduh, K. Madervan, 59, membuat pengakuan tersebut selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.

Mengikut pertuduhan, pemilik Syarikat MK Talent Development and Management Consultancy itu telah memberikan suatu dokumen iaitu geran latihan pekerja berjumlah RM39,692 kepada beberapa ejen HRDCorp dengan niat untuk memperdayakan prinsipalnya sedangkan latihan tersebut tidak dilaksanakan.

Dia didakwa melakukan kesalahan tersebut pada 16 dan 27 Jun 2021 di pejabat syarikatnya di Taman Bukit Kechil, dalam Daerah Bukit Mertajam dekat sini.

Tertuduh (belakang) dibenarkan ikat jamin RM20,000 bagi kesemua pertuduhan.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum dibawah Seksyen 24(2) akta sama yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali nilai butiran palsu atau RM10,000 mengikut mana-mana nilai lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Muaz Ahmad Khairuddin manakala tertuduh diwakili peguam, Ashok Atimulan.

Ketika prosiding, Muaz Ahmad menawarkan jaminan RM30,000 namun Ashok dalam mitagasi rayuannya memohon jaminan minima atas alasan anak guamnya kini hanya tutor sambilan dengan pendapatan RM2,000 sebulan selain mempunyai tanggungan anak di universiti.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 bagi kesemua pertuduhan selain menetapkan syarat tambahan perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah serta lapor diri pejabat SPRM berhampiran kediaman setiap bulan.

Kes akan disebut semula pada 18 April depan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here