SEGAMAT – Seorang maut manakala seorang lagi parah selepas kedua-duanya tersepit ditempat duduk pemandu dalam kemalangan tiga kenderaan di Sungai Karas, Jalan Labis-Chaah, Labis di sini hari ini.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor menerima panggilan kecemasan kejadian berkenaan pada pukul 7.10 pagi.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Labis, Penguasa Bomba Kanan I Hairishah Wahid berkata, susulan itu seramai tujuh anggota dihantar ke lokasi kejadian kira-kira lima minit kemudian.
“Anggota bomba bertindak menjalankan operasi menyelamat dengan menggunakan peralatan khas bagi mengeluarkan mangsa-mangsa yang tersepit.
“Kemalangan tersebut melibatkan sebuah kereta Proton Waja, Perodua Myvi dan Toyota Cross. Pemandu Proton Waja, R Chandran berusia 48 tahun mengalami kecederaan parah setelah tersepit di tempat duduk pemandu.
“Dia berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba sebelum dihantar ke hospital menggunakan ambulans Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya dalam kenyataan.
Katanya, pemandu Perodua Myvi, Mohd Nor Hirwan Mazlan, 43, juga tersepit di tempat duduk pemandu namun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pihak KKM.
Mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Pemandu Toyota Cross, Yong Chee Moi, 53, pula tidak cedera dan tidak tersepit dalam kemalangan tersebut.
Operasi berjaya dikawal pada pukul 7.55 pagi dan ditamatkan sepenuhnya pukul 8.46 pagi selepas semua mangsa dikeluarkan danĀ diserahkan kepada pihak berkuasa. – MalaysiaGazette