PUTRAJAYA – Kerajaan hari ini mewujudkan tabung wakaf khas untuk membantu dan membangunkan semula institusi pendidikan dan perubatan di Palestin termasuk Universiti Al-Quds dan sekolah-sekolah.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, selain bertujuan pembangunan Gaza, penduduk Palestin memerlukan madrasah-madrasah dan institusi pengajian tinggi yang kini bergantung bantuan daripada umat Islam seluruh dunia.
“Saya ada bincang bersama dengan Datuk Dr Mohd Naim Mokhtar (Menteri Hal Ehwal Agama) dan rakan-rakan, kita juga akan membuat satu bantuan khusus wakaf untuk Universiti Al-Quds dan sekolah-sekolah termasuk hospital di Baitul Maqdis.
“Saya harap dengan usaha ini kita dapat tingkatkan usaha khidmat kita dan meringankan beban mereka, seperti sedia maklum, masih ada Universiti Al-Quds di Baitul Maqdis tetapi bergantung kepada bantuan umat.
“Kita akan luncurkan pada malam ini dan pihak kerajaan insya-Allah akan terus memberikan ruang dan bantuan supaya universiti itu tertegak,” katanya berucap pada Majlis Ilmu Madani di Masjid Putra, di sini, malam ini.

Majlis Ilmu Madani yang diadakan selepas solat Maghrib itu menampilkan Imam Masjid al-Aqsa Palestin, Sheikh Dr. Ekrima Said Sabri yang menyampaikan tazkirah kira-kira 30 minit.
Menurut Perdana Menteri, beliau sudah berbincang dengan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir untuk memastikan kerjasama itu dilaksanakan.
“Saya pun sudah berbincang dengan menteri pendidikan tinggi dan universiti tempatan untuk adakan jalinan hubungan untuk kukuhkan kegiatan universiti tersebut,” katanya.

Selain itu, Perdana Menteri menggesa rakyat Malaysia untuk meneruskan agenda solidariti kepada rakyat Palestin.
“Kita kena menunjukkan ihsan dan tanggungjawab kita untuk meringankan beban mereka sama ada di Gaza ataupun di Baitul Maqdis.
“Usaha kemanusiaan perlu kita teruskan dan Sheikh Ekrima mohon supaya kita bantu kemajuan di Baitul Maqdis,” katanya. – MalaysiaGazette