Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Terengganu, Datuk Wan Sukairi Wan Abdullah.

KUALA LUMPUR – Kerajaan Negeri Terengganu sedang dalam perbincangan untuk mengharam secara total rokok elektronik atau vape di negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Terengganu, Datuk Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, pihaknya menerima cadangan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk mengharamkan vape secara menyeluruh di negeri itu.

Jelas beliau, kertas cadangan itu kini sedang dalam proses akhir dan akan dibawa ke Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri (MMKN) untuk dibincangkan.

“Pengharaman turut melibatkan penjualan, pengiklanan dan sebarang aktiviti berkaitan vape di seluruh premis di negeri ini,” katanya kepada pemberita seperti dipetik laporan laman web trdi.my hari ini.

Menurut Wan Sukairi, sekiranya cadangan itu dipersetujui, satu undang-undang ketat akan diperkenalkan bagi memastikan pengharaman tersebut dapat dikuatkuasakan sepenuhnya.

“Jika cadangan pengharaman ini diluluskan, semua jenis vape tanpa mengira perisa atau kandungannya akan diharamkan sepenuhnya di Terengganu.

“Pengharaman ini bukan hanya tertumpu kepada vape jenis mushroom sahaja tetapi melibatkan semua perisa vape tanpa pengecualian,” jelasnya.

Media sebelum ini melaporkan, Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyarankan supaya penggunaan rokok elektronik atau vape diharamkan secara total.

Saranan itu dibuat susulan kebimbangan baginda terhadap penyalahgunaan dadah yang semakin meningkat di Pahang, terutama dalam kalangan belia berdasarkan statistik oleh Agensi Anti Dadah Kebangsan (AADK).

Titah baginda, antara punca utama golongan muda terjebak dalam ketagihan dadah secara langsung dan tidak langsung bermula dengan penggunaan vape. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here