KUALA LUMPUR – Kerajaan telah mempercepatkan pelaksanaan projek tebatan banjir di seluruh negara dengan memperuntuk RM22.57 bilion bagi 126 projek setakat ini, kata Perdana Menteri.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan tidak hanya meneruskan program sedia ada tetapi turut mempercepatkan proses pelaksanaannya, termasuk pengambilan tanah oleh kerajaan negeri.
Kata beliau, pihaknya telah menetapkan 126 projek dengan kos RM22.57 bilion dan daripada jumlah itu, sebanyak 74 projek sudah dalam pelaksanaan manakala 35 lagi dalam peringkat prapelaksanaan.
“Timbalan Perdana Menteri II telah diberi tanggungjawab untuk menyelaraskan usaha ini, dengan Ketua Setiausaha Negara turut ditugaskan bagi memastikan Projek Tebatan Banjir (PTB) dilaksanakan dengan keutamaan tertinggi,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Bebas – Muar) yang telah meminta Perdana Menteri tentang langkah proaktif tangani banjir setiap kali monsun serta faktor luar jangka di kawasan sering dilanda musibah itu serta lokasi berpotensi pada masa akan datang.
Dalam pada itu, Anwar juga menekankan kepentingan Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok yang sebelum ini menghadapi kelewatan dalam pengambilan tanah selama lebih 24 bulan.
Namun, katanya, kerajaan negeri kini memberi jaminan proses itu dapat diselesaikan dalam tempoh enam bulan bagi membolehkan projek disegerakan.
“Sebelum ini, projek di Rantau Panjang dilaksanakan secara berfasa, fasa satu, dua dan tiga. Kini, kita satukan ketiga-tiga fasa itu dalam satu projek sekaligus termasuk kerja penyelenggaraan oleh Majlis Keselamatan Negara yang melibatkan rundingan dengan Thailand.
“Keputusan mempercepatkan projek ini memerlukan tambahan RM2 bilion, namun pada masa sama, ia akan menjimatkan kos keseluruhan sebanyak RM1.7 bilion,” ujarnya.
Selain Kelantan dan Terengganu, Johor turut menjadi keutamaan dalam pelaksanaan projek tebatan banjir. Anwar menjelaskan bahawa kerajaan telah mempercepatkan pengambilan tanah bagi projek Tebatan Banjir Berkeutamaan Tinggi (TBBT) di negeri itu dengan peruntukan sebanyak RM1.64 bilion.
“Untuk Johor, projek telah dimulakan di Segamat, Batu Pahat dan Ledang. Kesemua projek ini diawalkan lebih 12 bulan daripada jadual asal kerana ia mengambil masa yang panjang untuk disiapkan,” katanya.
Sebagai langkah tambahan, kerajaan juga memberikan lebih banyak peruntukan kepada negeri menerusi Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS) untuk membolehkan negeri menggunakan dana itu bagi pembinaan jambatan sementara (Bailey Bridge) di kawasan yang memerlukan.
Tambah Anwar, dalam memastikan kesiapsiagaan menghadapi banjir setiap kali musim monsun, kerajaan telah menyalurkan lebih RM200 juta kepada negeri-negeri yang terjejas termasuk Sabah dan Sarawak.
“Bagi Monsun Timur Laut, kerajaan turut menyediakan tambahan RM22.5 juta dalam bentuk bantuan makanan dan sokongan logistik bagi memastikan keperluan mangsa banjir dapat ditampung dengan segera,” ujarnya. – MalaysiaGazette