KUALA LUMPUR – Belle Sense Clinic menjalinkan kerjasama dengan Universiti Malaya (UM) dalam penyelidikan dan pembangunan rawatan kecantikan.
Kerjasama itu bagi memastikan lebih ramai individu dapat menikmati perkhidmatan kecantikan berkualiti tinggi, kata Ketua Pegawai Eksekutif Bella Sense Clinic, Datuk Willy Toh.
Selain itu, menurutnya, klinik yang dirasmikan oleh Setiausaha Kementerian Kesihatan, Datuk Seri Surani Ahmad di sini semalam juga menawarkan perkhidmatan berpatutan mengikut bajet pelanggan.
“Klinik ini menawarkan pelbagai rawatan kecantikan dengan pasukan doktor pakar yang berpengalaman dalam bidang estetik,” katanya dalam kenyataan.
Bagi memperluaskan perkhidmatan kepada lebih ramai pelanggan, Belle Sense Clinic merancang untuk membuka cawangan baharu di Pulau Pinang dan Johor tidak lama lagi.
Selain itu, menurut Willy, para pelanggan kliniknya bukan sahaja terdiri daripada wanita sahaja tetapi juga kepada lelaki yang kini semakin mementingkan kesihatan dan penampilan diri.
Belle Sense Clinic yang terletak di salah satu pusat beli-belah terbesar di Kuala Lumpur menawarkan pelbagai rawatan kecantikan terkini yang menggunakan teknologi canggih dan dipantau oleh pasukan doktor pakar yang berpengalaman dalam bidang estetik.
Sementara itu, Surani Ahmad ketika merasmikan pembukaan Belle Sense Clinic berkata, klinik itu bukan sahaja memberikan peluang kepada pelanggan untuk mendapatkan perkhidmatan kecantikan yang berkualiti tetapi juga menyokong perkembangan industri estetik yang semakin pesat di negara ini.
“Ini adalah satu langkah positif untuk menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia menikmati perkhidmatan kecantikan yang profesional dan selamat,” katanya. – MalaysiaGazette