PUTRAJAYA – Beras putih tempatan (BPT) bersubsidi berharga RM26 bagi setiap 10 kilogram (kg) akan mula dijual di pasaran bermula 1 Mac ini bagi tempoh selama enam bulan sehingga 31 Ogos depan.
Ketua Pengarah Kawal Selia Padi dan Beras, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Badrul Hisham Mohd berkata, penjualan BPT itu disasarkan kepada kira-kira 400,000 ketua isi rumah miskin termasuk 77,000 keluarga miskin tegar.
Menurut beliau, buat masa ini, BPT khas daripada beberapa jenis jenama itu hanya boleh dibeli pada kapasiti dua kampit atau 20 kg bagi setiap isi rumah pada setiap pembelian.
“Kita yakin dengan kawal selia di bawah akta sedia ada serta dengan penggunaan teknologi iaitu sistem penjejakan yang menggunakan teknologi, program beras putih tempatan bersubsidi ini mampu memberi manfaat kepada golongan sasar iaitu kumpulan miskin dan miskin tegar,” katanya dalam sidang media khas di sini hari ini.
Sebelum ini, kerajaan bersetuju menaikkan harga lantai padi kepada RM1,500 per tan berbanding RM1,300 per tan berkuat kuasa 16 Februari lalu.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohmad Sabu turut mengumumkan harga BPT kekal pada RM2.60 sekilogram yang mana kerajaan akan menanggung kos dengan pemberian subsidi sebanyak RM150 juta dalam tempoh enam bulan.
Sementara itu, Badrul Hisham berkata, pihaknya akan mengeluarkan arahan dan tatacara penjualan BPT itu kepada peruncit bagi memastikan ia benar-benar sampai kepada kumpulan sasar serta bagi mengelak dimanipulasi.
Ujarnya, ia termasuk bagi memastikan BPT itu tidak dibeli oleh warga asing, meskipun pada ketika ini, pihaknya tidak mewajibkan pembeli untuk menunjukkan MyKad ketika pembelian beras bersubsidi tersebut.
Mengulas lanjut mengenai sistem penjejakan BPT tersebut, beliau berkata, sistem itu yang menggabungkan teknologi kecerdasan buatan (AI) akan diletakkan pada kampit beras bersubsidi.
Jelasnya, teknologi itu membolehkan pihaknya memantau pergerakan BPT di pasaran dalam tempoh 24 jam bagi mengelak penjualannya di manipulasi sekali gus memastikan ia benar-benar sampai kepada kumpulan sasar.
“Pada akhirnya nanti semua kena faham program ini adalah bantuan kerajaan untuk mereka yang memerlukan bukan untuk diniagakan (manipulasi), jika ada elemen itu, kita tidak akan berdiam diri.
“Buat permulaan ini, kita mahu melatih rakyat terlebih dahulu supaya faham dasar kerajaan dan siapa yang sepatutnya membeli beras putih bersubsidi ini.
“Jika ini tidak berkesan, kita akan bergerak ke fasa seterusnya, tetapi kita yakin dengan mekanisme yang kita ada, program beras putih bersubsidi ini mampu diuruskan dengan baik dan benar-benar memanfaatkan golongan sasar yang memerlukan,” katanya.
Sementara itu, Badrul Hisham berkata, sebagai permulaan, sebanyak 10,000 kampit BPT akan dijual menerusi program jualan agro Madani di Kedah yang dijadual dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Khamis ini. – MalaysiaGazette