Menteri Kesihatan yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dzulkefly Ahmad pada Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 25 FEBRUARI 2025.

KUALA LUMPUR – Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) telah meluluskan tempoh interim selama tiga bulan mulai 1 Disember tahun lalu hingga 28 Februari ini bagi membuat persediaan ke arah pelaksanaan waktu bekerja syif 45 jam di Kementerian Kesihatan (KKM).

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, pihaknya akan memohon agar diberikan moratorium kepada pelaksanaan waktu bekerja 45 jam itu.

“Sepanjang tempoh interim tersebut, KKM telah melaksanakan sesi libat urus dan sesi dialog awam mengikut zon di seluruh negara.

“Antara hasil dapatan sesi libat urus dan sesi dialog awam tersebut adalah seperti membantu penyelia dalam membuat penyusunan dan penyelarasan jadual waktu bekerja syif 45 jam, membincangkan isu di lapangan meliputi kebajikan anggota kesihatan dalam waktu bekerja syif dan meneliti cadangan penambahbaikan bagi memperkukuhkan pelaksanaan tadbir urus waktu bekerja syif di fasiliti KKM sebelum diangkat untuk pertimbangan JPA.

“Saya juga telah mengadakan sesi libat urus bersama kesatuan pada 20 Februari 2025. Ini adalah untuk mendapatkan pandangan menyeluruh serta penyelesaian tuntas berhubung pelaksanaan waktu bekerja syif,” katanya pada sesi penggulungan titah diraja di Dewan Rakyat hari ini.

Dr Dzulkefly berkata, KKM beriltizam memastikan pelaksanaan waktu bekerja teratur dan selaras dengan peraturan yang berkuatkuasa.

Ia, katanya, untuk memastikan penyampaian perkhidmatan kesihatan berkesan kepada rakyat.

“Justeru, KKM mengadakan perbincangan dan rundingan berterusan bersama agensi pusat untuk menambah baik mekanisme pelaksanaan sedia ada demi kemaslahatan bersama anggota KKM yang terlibat dengan waktu bekerja berkenaan,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan, Dr Dzulkefly berkata, KKM menjalankan sesi libat urus di seluruh negara sebelum memuktamadkan keputusan berhubung pelaksanaan tempoh bekerja 45 jam bagi petugas syif termasuk jururawat, penolong pegawai perubatan dan pemandu ambulans.

Katanya, beliau sendiri telah hadir ke beberapa sesi libat urus di Pulau Pinang, Pahang, Kota Kinabalu, Batu Pahat dan yang terakhir di Terengganu pada minggu depan bagi mendengar pandangan semua pihak.

Terdahulu beberapa pihak dilapor menyuarakan kebimbangan mengenai arahan baharu di bawah Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA), yang akan memerlukan jururawat yang bekerja secara syif bekerja selama 45 jam seminggu bertambah daripada 42 jam ketika ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here