KUALA LUMPUR – Kadar sewaan tapak bazar Ramadan yang dikenakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) antara yang terendah daripada caj yang dikenakan iaitu sebanyak RM500.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dr Zaliha Mustafa berkata, caj tersebut termasuk cagaran RM200 yang akan dipulangkan sekiranya tiada pelanggaran syarat lesen.
“Ini bermakna setiap penjaja perlu membayar sekitar RM300 sahaja untuk satu petak bazar Ramadan.
“Jumlah ini tentunya sangat berpatutan dan mampu milik terutama bagi peniaga kecil. kadar yang dikenakan juga rendah berbanding di setengah-setengah tempat yang mungkin dikelolakan pihak swasta atau juga ini berlaku di beberapa negeri lain,” katanya pada sesi penggulungan di Dewan Rakyat hari ini.
Dr Zaliha turut menjelaskan, DBKL menjalinkan hubungan kerjasama yang strategik dengan Bank Muamalat bagi menanggung kos kanopi ke semua bazar Ramadan di sekitar Kuala Lumpur.
“Ini membrri manfaat tambahan juga kepada peniaga dan penawaran tapak bazar Ramadan juga dibuat melalui permohonan dan kaedah cabutan undi.
“Ini sangat adil bagi kawasan permohonannya melebihi jumpah tapak yang ditawarkan bagi memastikan peluang yang adil kepada semua peniaga kecil,” ujarnya. – MalaysiaGazette