KUALA LUMPUR – Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan akan mengadakan lawatan rasmi ke Republik Islam Iran bermula hari ini.
Wisma Putra dalam satu kenyataan berkata, Mohamad akan mengadakan pertemuan Presiden Iran, Dr. Masoud Pezeshkian bagi mengukuhkan hubungan dua hala dalam pelbagai sektor bagi kepentingan bersama kedua-dua negara.
“Perbincangan mereka akan tertumpu kepada hubungan dua hala antara Malaysia dan Iran, serta isu-isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama khususnya situasi di Palestin dan Timur Tengah,” jelas Wisma Putra.
Ketika lawatan rasmi tersebut, Mohamad akan mempengerusikan Mesyuarat Suruhanjaya Bersama kali ke-8 (8th Joint Commission Meeting – JCM) antara Malaysia dan Iran.
Mesyuarat berkenaan akan membincangkan skop dan akan memperincikan bidang-bidang kerjasama strategik antara kedua-dua negara, termasuk bidang politik, pertahanan, keselamatan, perdagangan dan pelaburan, bank dan kewangan, pertanian, kesalinghubungan, tenaga, pelancongan dan budaya, sains dan teknologi, wanita dan keluarga, pendidikan dan industri halal.
Untuk rekod, Iran merupakan rakan dagang ketujuh terbesar Malaysia di rantau Asia Barat, dengan jumlah dagangan bernilai RM2.6 bilion (USD0.57 bilion), peningkatan sebanyak 24.6 peratus daripada tahun 2023.
Malaysia ialah rakan dagang terbesar Iran di kalangan Negara-negara Anggota ASEAN dan ke-19 terbesar di peringkat global pada tahun 2023. – MalaysiaGazette