Rosmaini (tengah) dibenarkan Mahkamah Tinggi di Johor Bahru hari ini untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara.

JOHOR BAHRU – Seorang peniaga, Rosmaini Abdul Raof, 42, dibenarkan Mahkamah Tinggi di sini hari ini untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman sementara menunggu keputusan rayuan di Mahkamah Tinggi.

Hakim, Datuk Abu Bakar Katar memutuskan demikian selepas meneliti hujahan Timbalan Pendakwa Raya, Juanita Mohd Said dan peguam, Kamal Hisham Jaafar serta Muhammad Nor Tamrin yang mewakili Rosmaini bersidang pada 7 Februari lalu.

Abu Bakar dalam keputusannya menyatakan mahkamah menggunakan budi bicara berdasarkan Seksyen 311 Kanun Tatacara Jenayah (KTJ) dan tidak dipengaruhi oleh pandangan umum yang tular di media sosial.

Mahkamah turut mengambil kira isu bermerit dalam rayuan termasuk dakwaan percanggahan dalam keterangan saksi utama dengan dokumen berkaitan serta keputusan hakim bicara yang tidak membenarkan saksi itu dipanggil semula oleh pembelaan.

Berdasarkan alasan tersebut, mahkamah membenarkan permohonan penangguhan hukuman dengan beberapa syarat, antaranya jaminan bercagar sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin serta keperluan pemohon melapor diri di balai polis berhampiran pada setiap bulan sehingga rayuan selesai.

Hakim turut menetapkan jika pemohon gagal mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan, perintah penggantungan hukuman akan terbatal serta-merta dan waran penjara akan dikeluarkan.

Mahkamah turut menetapkan 7 April depan sebagai tarikh sebutan semula rayuan kes.

Pada 9 Disember tahun lalu, Rosmaini dihukum penjara 10 tahun oleh Mahkamah Sesyen kerana menyebabkan kecederaan parah terhadap isteri ketiganya Jahidah Nordin @ Sylvester, 43, sehingga koma empat tahun lalu.

Hakim Fatimah Zahari membuat keputusan di akhir pembelaan kes berkenaan terhadap Rosmaini, selepas perbicaraan berlangsung selama tiga tahun dengan 11 saksi pendakwaan dipanggil.

Hakim dilaporkan berkata, pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

Kes Jahidah pernah menggemparkan negara sebelum ini kerana wanita berkenaan dilaporkan hamil ketika dipukul sehingga parah dan koma.

Jahidah yang juga bekas kakitangan sebuah jabatan kerajaan itu kemudian dirawat di Hospital Tuanku Ja’afar, di Seremban, Negeri Sembilan, selepas menerima rawatan awal di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru.

Jahidah selamat melahirkan bayi lelaki, Eshan Nufail secara pembedahan pada 30 November 2021.

Pada 15 Mac tahun lalu, Mahkamah Rendah Syariah Seremban dilaporkan membenarkan permohonan fasakh yang dikemukakan keluarga Jahidah pada Mac 2023.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here