Cameron Highlands, Pahang. foto AQIRA AZEMI

KUALA LUMPUR – Sebanyak 689 kejadian tanah runtuh yang berlaku di Cameron Highlands telah direkodkan dari tahun 1961 sehingga kini, kata Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Huang Tiong Sii.

Lantaran itu, Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) dipertanggungjawabkan melaksanakan Projek Penghasilan Peta Bahaya dan Risiko Cerun (PBRC) dimana menerusi projek ini, sebanyak 45 cerun kritikal berisiko tinggi telah dikenalpasti di kawasan tanah tinggi itu.

“JMG sedang melaksanakan pemantauan secara tahunan 19 cerun kritikal bermula 2021 sehingga kini. Selain itu sebanyak lima lokasi di Cameron Highlands telah dipasang peralatan sistem amaran awal (early warning system),” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Terdahulu, Tan Kar Hing (PH-Gopeng) meminta kementerian menyatakan statistik berkenaan perubahan iklim di kawasan Cameron Highlands dan jumlah kes kejadian tanah runtuh dan pemantauan pergerakan serta jumlah cerun berisiko tinggi.

Tiong Sii turut menjelaskan, berdasarkan rekod data meteorologi dari tahun 1969 hingga 2024, suhu Cameron Highlands menunjukkan trend peningkatan terutamanya dalam tempoh 10 tahun terakhir.

Tahun 2024 mencatatkan sejarah sebagai tahun terpanas di Cameron Highlands dengan purata suhu harian mencecah 18.91 darjah Celsius.

“Angka ini menunjukkan peningkatan sebanyak 0.86 darjah Celsius berbanding purata suhu harian jangka panjang (1991–2020), iaitu 18.05 darjah Celsius. Suhu tertinggi yang pernah direkodkan di Cameron Highlands ialah 27.9 darjah Celsius pada Mei 1998 manakala suhu terendah pula adalah 10.0 darjah Celsius pada Februari 1989,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here