GEORGE TOWN – Mesyuarat Pemukiman Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) hari ini menerima semua usul isu keselamatan serantau termasuk penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang dibawa Malaysia.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pertemuan tersebut membincangkan langkah-langkah untuk memperkukuhkan perpaduan serta mengekalkan permusatan ASEAN menghadapi cabaran keselamatan yang semakin berkembang.
Perbincangan turut meliputi isu seperti keselamatan makanan, jenayah rentas sempadan dan pengurusan sempadan.
“ADMM menerima semua resolusi diusulkan Malaysia iaitu Kecedersan Buatan (AI) siber dalam pertahanan, keselamatan maritim, bantuan kemanusiaan dan bantuan bencana termasuk mencari dan menyelamat, kerjasama industri pertahanan, ancaman keselamatan daripada pelaku bukan negara dan risiko biosekuriti.
“Semua resolusi tersebut akan dibawa untuk diputuskan dalam mesyuarat ADMM pada bulan November nanti,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Permukiman Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) Hotel Shangri-La Rasa Sayang di Batu Ferengghi hari ini.
Tambah Mohamed Khaled, menteri-menteri pertahanan ASEAN turut menerima usul mengenai keperluan untuk memperkukuhkan hubungan antara rakyat (people-to-people relations) serta memberi perhatian kepada ADMM dan ADMM Plus.
“Kita juga bersetuju untuk memulakan bengkel mengenai masa depan ADMM dan ADMM PLUS bagi memperkukuhkan diplomasi pertahanan.
“Beberapa insiden berlaku membabitkan ancaman keselamatan berlaku di Laut Baltik, jadi kita bersetuju untuk meningkatkan kesedaran mengenai keperluan melindungi infrastruktur kabel dasar laut dari sudut pertahanan,” katanya.
Terdahulu, seramai 159 delegasi dari 10 negara ASEAN terlibat dalam mesyuarat sesi pemukiman tersebut.
Pulau Pinang menjadi tuan rumah kepada 13 mesyuarat utama sepanjang Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 melibatkan perbincangan pada peringkat kerja, pegawai kanan dan menteri yang dijalankan oleh tujuh kementerian. – MalaysiaGazette