SEPANG – AirAsia menawarkan lebih 16,000 tempat duduk dengan tambang rendah tetap pada harga RM328 dan RM388 sehala sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, inisiatif itu melibatkan lebih 90 penerbangan lewat malam bagi 10 destinasi antara Semenanjung ke Sabah dan Sarawak seperti Kuala Lumpur ke Kuching, Sibu, Bintulu, atau Miri.
Ia juga ditawarkan bagi penerbangan Johor Bahru ke Kuching dan Sibu.
Menurut Anthony, tambang penerbangan dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu, Sandakan, atau Tawau; serta Johor Bahru ke Kota Kinabalu, ditetapkan pada harga RM388 sehala.
Katanya, tawaran itu telah dibuka kepada orang ramai bermula hari ini hingga 5 April depan.
“Kerajaan akan terus komited dalam memastikan perjalanan udara kekal mampu milik dan mudah diakses oleh rakyat setiap kali musim perayaan.
“Inisiatif seperti subsidi tambang siling RM499 serta program FLYsiswa adalah sebahagian daripada usaha berterusan kami untuk mengurangkan beban kewangan para penumpang, khususnya para pelajar yang melakukan perjalanan antara Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.
“Dengan kerjasama rakan industri seperti AirAsia, kami akan terus mengutamakan kebajikan rakyat dan memastikan tambang penerbangan berpatutan. Inisiatif tambang tetap untuk Hari Raya ini adalah langkah penting dalam menjadikan perjalanan lebih inklusif, membolehkan lebih ramai rakyat dapat pulang beraya bersama keluarga tanpa membebankan mereka,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Terdahulu, beliau melancarkan ‘Raya Tanpa Sempadan Dengan Tambang Tetap’ bersama Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Datuk Kapten Fareh Mazputra, di sini hari ini.
Katanya lagi, AirAsia juga akan mengendalikan 287 penerbangan mingguan dengan tambang semasa ke Sabah dan Sarawak bagi menyokong inisiatif kerajaan sepanjang musim perayaan.
“Kerajaan akan meneruskan dasar memberi subsidi pembelian sehala tiket penerbangan dari Semenanjung ke Sabah, Sarawak dan Labuan semasa musim perayaan tahun ini dan tahun hadapan termasuk Kaamatan, Gawai, dan Krismas.
“Inisiatif ini akan dipertingkatkan dengan subsidi tiket penerbangan sehala bagi setiap penumpang di laluan domestik yang menghubungkan Semenanjung, Sabah, Sarawak dan Labuan untuk tiket berharga lebih RM499.
“Harga ini juga tidak termasuk cukai dan yuran selain harga maksimum RM499 adalah pengurangan daripada ambang sebelumnya iaitu RM599,” jelasnya. – MalaysiaGazette