KUALA LUMPUR – Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu hari ini diberitahu, pihak pendakwaan sudah melengkapan semua dokumen bagi perbicaraan kes bunuh graduan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Nur Farah Kartini Abdullah.
Dalam kes itu, anggota polis berpangkat Lans Koperal, Muhammad Alif Monjani didakwa membunuh graduan berkenaan dan menunggu untuk dibicarakan.
Timbalan Pendakwa Raya, Eirene Nabila Amani Williams-Hunt memaklumkan, dokumen yang telah lengkap termasuk laporan kimia dan laporan patologi.
Sehubungan itu, beliau memohon satu tarikh lanjut bagi mendapat izin memindahkan kes itu untuk perbicaraan di Mahkamah Tinggi Shah Alam.
ARTIKEL BERKAITAN
Peguam Nur Aida Zainuddin yang mewakili tertuduh memohon mahkamah menetapkan tempoh yang lebih panjang.
Sehubungan itu, Majistret Nurul Izzah Hasan Basri menetapkan 28 Mei ini bagi arahan izin untuk memindahkan kes berkenaan ke Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, anggota tersebut didakwa menyebabkan kematian Nur Farah Kartini, 26, di antara 10 Julai, pukul 9 pagi dan 15 Julai 2024, pukul 6 petang di Ladang SKC Kledang, Hulu Selangor.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun dan sebatan tidak kurang 12 kali.
Nur Farah Kartini, yang hilang sejak 10 Julai tahun lalu selepas menghantar kereta sewa kepada pelanggan, ditemukan meninggal dunia di ladang kelapa sawit di Kampung Sri Keledang, Felda Gedangsa, Hulu Selangor.
Mayatnya ditemukan kira-kira pukul 6 petang, 15 Julai lalu dipercayai dibunuh individu dikenali dan susulan itu, polis menahan anggota polis berpangkat lans koperal berusia 26 tahun. – MalaysiaGazette