SHAH ALAM – Parti Islam SeMalaysia (Pas) mengingatkan Exco Perumahan dan Pelancongan Selangor, Datuk Ng Suee Lim agar tidak sewenang-wenangnya menyalahgunakan titah Sultan Selangor demi kepentingan peribadi.
Ahli Dewan Negeri Sungai Panjang, Mohd Razali Saari berkata, tindakan Suee Lim memetik sebahagian titah Sultan Selangor di dalam suratnya mengenai permohonan pertukaran status 84 ekar tanah di Sekinchan dipersoalkan.
Razali berkata, Ahli Dewan Negeri Sekinchan itu masih gagal menjawab keberadaan teks asal titah Diraja itu, seperti mana yang dipetik Suee Lim di dalam suratnya kepada Yang Dipertua Majlis Daerah Sabak Bernam bertarikh 30 Mei 2024.
“Pada 22 Februari lalu, saya ada bawa satu isu dalam Dewan Negeri Selangor. Saya bangkitkan berkenaan adakah wujud atau tidak titah Sultan Selangor yang dimuatkan di dalam surat Yang Berhormat Sekinchan.
“Saya mahu bersihkan nama Istana (Selangor) supaya tidak suka-suka dimain macam itu, kalau benda ada, tunjukkan, kalau tiada, jangan diada-adakan.
“Kalau ada, titah tuanku akan keluar panjang, dalam surat ini hanya kata, ini titah Tuanku untuk kekalkan kehijauan padi dan kelestarian Sekinchan sebagai tarikan pelancong dengan sawah terbentang,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette, di sini, hari ini.

Khamis lalu, Razali membangkitkan isu tersebut ketika sesi perbahasan usul menjunjung kasih Titah Tuanku Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Selain itu, katanya, hasil semakan dengan Majlis Daerah Sabak Bernam mendapati, Sultan Selangor tidak pernah bertitah ketika Seri Paduka Baginda dan Permaisuri berkenan mencemar duli ke Sekinchan pada 22 Mei 2017.
“Saya tanya, semasa Tuanku mencemar duli 22 Mei 2017, ada atau tidak ada Tuanku bertitah?
“Bila saya buka laman rasmi Majlis Daerah Sabak Bernam, dalam tentatif itu tidak ada pun menyebut Duli Yang Maha Mulia ini bertitah, ia hanya lawatan.
“Namun dalam dua surat yang dikeluarkan Yang Berhormat Sekinchan (6 Mac 2023 dan 30 Mei 2024) dan beliau sebut itu adalah titah Duli Yang Maha Mulia Tuanku,” katanya.

Kesal dengan tindakan Suee Lim yang enggan menjawab perkara itu, Razali mencadangkan Exco Selangor itu, bahawa jika titah itu benar-benar wujud, bermakna ADN Sekinchan itu telah ingkar kepada titah tersebut sejak 2017.
“Setuju atau tidak setuju, dia tak mahu jawab, sebab itu saya bertanya.
“Saya bertanya lagi, adakah Yang Berhormat bersedia untuk memohon ampun kepada Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan atas keingkaran dalam mematuhi titah selama lebih kurang enam tahun.
“Pada 2017, Tuanku hanya mencemar duli, surat ini mula keluar pada 2023, jadi selama enam tahun ini, apa yang dia buat? Ada atau tiada titah, kalau titah itu ada, ke mana titah itu disorok?” soalnya.

Razali juga melahirkan rasa kesal kerana Suee Lim masih bertindak dengan mengunci mulut dan enggan menjawab persoalan itu, sedangkan sidang Dewan Negeri Selangor akan berakhir pada Rabu ini.
“Memandangkan sidang Dewan Negeri Selangor tiada penyelesaian, maka saya bawa perkara ini kepada pengetahuan umum, supaya kita sama-sama jaga institusi Istana dan tidak semudahnya menggunakan Istana untuk kepentingan diri,” katanya.
Ditanya tentang tujuan petikan titah Tuanku itu dimasukkan dalam surat Exco Kerajaan Negeri itu, Razali mendakwa, ia bagi meminda Rancangan Tempatan (RT) 2025 untuk mengekalkan penanaman padi dan pertanian di atas tanah seluas 84 ekar di hadapan kilang Bernas Sekinchan.
“Majlis Daerah Sabak Bernam ada rancangan 10 tahun, 2015 sampai 2025, kalau ikut permohonan, kawasan itu telah ditandakan dengan kod berwarna sebagai komersial.
“Pada 2025, majlis akan buat RT baharu bagi tempoh 2025 hingga 2035, majlis sebenarnya sudah ada perancangan, tetapi (Suee Lim) nak dipinda, sedangkan status tanah di kawasan itu dikekalkan sebagai komersial,” katanya.
Katanya lagi, beliau tidak menolak kemungkinan penyalahgunaan titah Sultan Selangor dilakukan bagi menghalang pembangunan Bandar Baharu Sekinchan di atas tanah seluas 84 ekar itu.
“Kita pun tahu ada Akta Undang-Undang Tanah Pertanian, ia juga berkaitan dengan keterjaminan makanan, tanah bendang dan sebagainya.
“Sekarang ini tiada apa-apa aktiviti di tanah tersebut. Saya dimaklumkan akan ada lagi pertemuan-pertemuan di pihak majlis daerah, jawatankuasa tentang isu tanah tersebut. Kini ditangguhkan disebabkan surat ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette