KUALA LUMPUR – Kerajaan sedang mengkaji kemungkinan untuk mewajibkan syarikat insurans menyenaraikan keuntungan dan kerugian setiap polisi insurans perubatan bagi memastikan ketelusan dalam penetapan kenaikan premium.
Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying berkata, pada masa ini, syarikat insurans dan takaful (ITO) hanya dikehendaki mengisytiharkan keuntungan dan kerugian keseluruhan mereka dalam penyata kewangan tahunan, selaras dengan ‘Malaysian Financial Reporting Standard 17’.
“Namun, mereka tidak diwajibkan untuk menyenaraikan secara terperinci keuntungan dan kerugian bagi setiap polisi insurans perubatan.
“Kami menghargai cadangan ini dan akan menjalankan kajian lebih mendalam bagi mempertimbangkan kebolehlaksanaannya,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Hui Ying berkata demikian bagi menjawab soalan Teresa Kok (PH-Seputeh) yang mahu mengetahui sama ada kerajaan akan mengarahkan syarikat insurans untuk menyenaraikan secara terperinci keuntungan dan kerugian setiap polisi insurans perubatan bagi memastikan ketelusan dalam menentukan kenaikan premium munasabah.

Kata Ahli Parlimen Tanjong itu, Bank Negara Malaysia (BNM) telah mengambil langkah untuk meningkatkan ketelusan dalam industri insurans perubatan dan takaful kesihatan (MHIT), termasuk memperbaiki lembaran penzahiran produk (Product Disclosure Sheet, PDS).
“PDS yang ditambah baik ini akan lebih ringkas dan mudah difahami bagi membolehkan pemegang polisi memahami terma dan syarat dengan lebih jelas.
Ini juga akan menyatakan nisbah tuntutan (claims ratio) pada peringkat industri bagi menunjukkan bahawa sebahagian besar premium yang dibayar diperuntukkan untuk membayar tuntutan,” jelasnya.
Beliau berkata, purata nisbah tuntutan industri bagi tempoh 2021 hingga 2023 adalah 72 peratus, yang bermaksud bagi setiap RM1 premium yang dibayar, sebanyak 72 sen digunakan untuk tuntutan.
Manakala baki selebihnya digunakan untuk perbelanjaan pengurusan termasuk infrastruktur IT, sistem pengurusan polisi dan tuntutan, komisen ejen, serta keuntungan syarikat insurans.
Selain itu, beliau menegaskan bahawa ITO diwajibkan memastikan sebarang kenaikan premium bagi produk MHIT mengambil kira keseimbangan antara kemampuan pemegang polisi dan kemampanan produk tersebut.
“ITO perlu memantau kos tuntutan secara objektif dan hanya boleh menetapkan semula premium apabila kos tuntutan meningkat secara berterusan dan melebihi nilai ambang yang ditentukan. Mereka juga dilarang menaikkan premium semata-mata untuk meningkatkan keuntungan,” tegasnya.
Beliau memberi jaminan bahawa kerajaan akan terus memantau perkembangan dalam industri insurans bagi memastikan kepentingan rakyat sentiasa terpelihara. -MalaysiaGazette