JOHOR BAHRU – Kerja-kerja pemasangan trek landasan untuk projek pembinaan Sistem Transit Rapid (RTS) Link yang menghubungkan Johor Bahru dan Singapura kini lebih 65 peratus sudah disiapkan.
RTS Operations Sdn Bhd (RTSO) sebagai operator yang bertanggungjawab yakin projek berkenaan akan berjalan lancar dengan kerja pembinaan diteruskan di kawasan Depoh Wadi Hana.
Ketua Pegawai Eksekutif RTSO, Dr Ahmad Marzuki Ariffin berkata, pemasangan trek landasan di Depoh Wadi Hana itu meliputi kerja-kerja pemasangan pangalas landasan, landasan rel dan kerja mengikat dua komponen dengan klip pengikat.
“Jajaran landasan yang bermula di Depoh Wadi Hana adalah sepanjang 5.3 kilometer menghubungkan terus laluan utama di Stesen Bukit Chagar, jejambat landasan dan bersambung ke Stesen Woodlands North, Singapura.
“Kini, kita sudah memulakan kerja yang bermula di Depoh Wadi Hana dan seterusnya kami jangkakan kerja landasan dapat diteruskan sehingga ke Stesen Woodlands North di Singapura.
“Kerja pemasangan landasan sehingga ke stesen di Singapura kita jangka siap menjelang Julai nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas sesi taklimat mengenai perkembangan terkini Projek RTS Link dan lawatan tapak ke Depoh Wadi Hana di sini hari ini.
Turut hadir Pengarah Projek RTSO, Zahrin Abdul Gani.
Menurut Ahmad Marzuki, kerja berkaitan sistem bagi projek itu pula akan dijalankan secara berperingkat-peringkat dengan kerja pemasangan komponen pembekal kuasa landasan, sistem isyarat dan komunikasi akan dimulakan bulan depan.
“Untuk kerja-kerja sistem, ia perlukan masa sehingga tahun depan dan dijalankan secara berperingkat,” katanya.
Pada masa sama, beliau berkata, kadar tambang bagi kemudahan pengangkutan itu belum diputuskan.
Katanya, perbincangan perlu dibuat oleh kedua-dua negara termasuk mengambil kira mengenai kadar pertukaran mata wang sebelum memutuskan kadar tambang yang hendak ditetapkan.
“Soal tambang, sudah pasti sebelum pengoperasian bermula ia akan diumumkan. Banyak persetujuan perlu diambil kira sebelum tentukan kadar tambang.
“Jadi, ia bergantung kepada perbincangan kedua-dua kerajaan,” jelasnya.- MalaysiaGazette