Penerima Kad Perak Sejahtera pada Majlis Penyerahan Program Kad Perak Sejahtera (KPS) Daerah Hulu Perak Anjuran Sekretariat Pembangunan Wanita dan Masyarakat Negeri Perak (Wanita Perak) di Dewan AmanJaya Lawin, Kampung Lawin, Lenggong. Foto ABDULLAH YUSOF, 20 MAY 2024.
Penerima Kad Perak Sejahtera pada Majlis Penyerahan Program Kad Perak Sejahtera (KPS) Daerah Hulu Perak Anjuran Sekretariat Pembangunan Wanita dan Masyarakat Negeri Perak (Wanita Perak) di Dewan AmanJaya Lawin, Kampung Lawin, Lenggong. Foto ABDULLAH YUSOF, 20 MAY 2024.

USAHA Kerajaan Negeri Perak memperkasakan program Kad Perak Sejahtera dalam membasmi kemiskinan menjadi lambang kepedulian terhadap rakyatnya dalam menghadapi cabaran ekonomi semasa yang menyaksikan kenaikan kos sara hidup dan harga barangan keperluan.

Hal ini dibuktikan dengan kenaikkan nilai bantuan yang diberi daripada RM80 sebulan dinaikkan kepada RM90 pada tahun 2023 dan seterusnya RM100 pada tahun 2024.

Program yang diperkenalkan sejak 2019 itu pernah dikenali sebagai Kad Perak Prihatin sebelum dijenamakan semula pada 2023 selari dengan Pelan Pembangunan Perak Sejahtera 2030 bertemakan Perak Makmur dan Rakyat Sejahtera.

Sejak diperkenalkan, Kad Perak Sejahtera ini menjadi bukti komitmen Kerajaan Negeri Perak di bawah pimpinan Datuk Seri Saarani Mohamad dalam membina sebuah negeri yang lebih inklusif dan sejahtera.

Ia dibuktikan melalui peruntukkan yang diberi kerajaan negeri berjumlah RM168.4 juta bagi pelaksanaan program ini kepada lebih 20,000 penerima memperoleh manfaatnya.

Setiap angka-angka ini bukan sekadar statistik di atas kertas, tetapi mewakili ibu yang berjuang untuk menyara anak-anak, warga emas yang memerlukan perhatian, dan keluarga yang sedang mencari nafas baru dalam kehidupan mereka.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad beramah mesra bersama penerima bantuan Kad Perak Sejahtera (KPS) pada Majlis Penyerahan KPS Daerah Kinta di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh, pada Sabtu. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR.

Mungkin bagi sesetengah pihak, RM100 sebulan kelihatan kecil, tetapi bagi mereka yang memerlukan, setiap ringgit amat bermakna.

Ia mungkin jumlah yang sederhana, tetapi ia mampu menjadi rezeki sekampit beras untuk keluarga, susu formula untuk anak kecil, atau ubat-ubatan yang diperlukan oleh orang tua yang sakit.

Dengan bantuan ini, penerima dapat membeli keperluan asas seperti makanan, lampin pakai buang, serta keperluan harian lain di 291 kedai dan pasar raya panel berdaftar di seluruh negeri.

Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Salbiah Mohamed sebelum ini menegaskan semua pihak yang layak boleh memohon Kad Perak Sejahtera.

Beliau berkata, tiada ketetapan kepada mana-mana parti untuk mengedarkan borang permohonan Kad Perak Sejahtera sebaliknya semua pihak boleh mendapatkan borang tersebut melalui Sekretariat Pembangunan Wanita Negeri Perak.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad pada 22 Februari lalu mengumumkan seramai 19,012 Ketua Isi Rumah (KIR) telah menerima manfaat Kad Perak Sejahtera bernilai RM100 sebulan setakat Februari 2025.

Penerima Kad Perak Sejahtera, Fairuz Fajilah (kiri), Narita Zainal (tengah), dan Noor Laili Desa menunjukkan Kad Perak Sejahtera di Dewan AmanJaya Lawin, Kampung Lawin, Lenggong. Foto ABDULLAH YUSOF.

Menurut beliau, inisiatif Kerajaan Negeri Perak membantu golongan B40, miskin dan miskin tegar dalam pembelian keperluan asas harian itu boleh digunakan penerima di 291 kedai dan pasaraya panel berdaftar dengan nilai keseluruhan RM1,200 setahun.

Katanya, Kerajaan Negeri Perak komited untuk memastikan program ini terus memberi manfaat kepada rakyat yang benar-benar memerlukan dan akan diteruskan sebagai sebahagian daripada agenda kesejahteraan rakyat.

Malah MG Perak sebelum ini melaporkan penerima-penerima Kad Perak Sejahtera memaklumkan bantuan diberikan membantu meringankan beban keluarga masing-masing dalam membeli barangan asas.

Ini jelas menunjukkan program tersebut membawa makna yang lebih besar selain menjadi lambang kepedulian Kerajaan Negeri terhadap rakyatnya, khususnya dalam menghadapi cabaran ekonomi semasa yang menyaksikan kenaikan kos sara hidup dan harga barangan keperluan.

Kita semua mengimpikan sebuah negeri yang sejahtera, makmur, dan bebas daripada kemiskinan tegar. Namun, impian ini tidak akan menjadi kenyataan hanya dengan harapan semata-mata.

Ia memerlukan usaha, kesungguhan, dan sokongan berterusan daripada semua pihak baik kerajaan, masyarakat, dan individu itu sendiri. -MG Perak

Artikel Berkaitan:

19,012 KIR terima manfaat Kad Perak Sejahtera

Kad Perak Sejahtera ringan beban belanja barang asas – penerima

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here