GEORGE TOWN – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menzahirkan kebimbangan berhubung impak projek Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) terhadap alam sekitar dan habitat hidupan liar.
Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader mendakwa, perancangan laluan ECRL oleh Kementerian Pengangkutan dan Malaysia Rail Link Sdn. Bhd. lebih mementingkan faktor kos berbanding perlindungan habitat hidupan liar, menyebabkan gangguan serius terhadap ekosistem semulajadi.
Jelas beliau, impak ekologi daripada pembinaan landasan kereta api terhadap hidupan liar amat membimbangkan dan projek ECRL berisiko menyebabkan kehilangan habitat, peningkatan konflik, pemburuan haram serta penghalang kepada migrasi hidupan liar.
“Merujuk kepada statistik peningkatan kes konflik manusia-hidupan liar dilaporkan meningkat daripada 7,925 kes pada 2018 kepada 13,670 kes pada 2023 dan 11,341 kes pada tahun lalu.
“Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Nik Nazmi turut mengesahkan bahawa sebanyak 80,375 kejadian konflik manusia-hidupan liar dilaporkan sepanjang 665 kilometer laluan ECRL dari 2018 hingga 2024.
“Malah, laluan pertama ECRL yang menghubungkan Kota Bharu dan Gombak, turut melibatkan kawasan rizab hutan yang mesra hidupan liar,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Mengulas lanjut Mohideen berkata, kehadiran landasan kereta api di kawasan hutan dan kawasan perlindungan menyekat akses hidupan liar kepada sumber makanan dan air, memaksa mereka berdepan dengan tren yang bergerak pantas semasa pergerakan semulajadi.
Kata beliau, projek ECRL juga memberi kesan kepada komuniti tempatan, dengan penduduk di Gombak terpaksa dipindahkan akibat pembinaan laluan tersebut.
“Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar sebelum ini melaporkan bahawa kawasan rizab hutan besar di Terengganu, Pahang dan Selangor akan terkorban untuk pembangunan, mengakibatkan kerosakan alam sekitar yang besar.
“Walaupun penilaian impak alam sekitar telah dilakukan, kesan sebenar pembalakan, hakisan sungai, risiko banjir, tanah runtuh, serta gangguan kepada habitat hidupan liar sukar dielakkan.
“Laluan landasan kereta api sering melalui kawasan habitat hidupan liar yang semakin berkurang, meningkatkan risiko kepupusan spesies seperti Harimau Malaya, Gajah, dan Tapir.
“Di Rizab Hutan Kemasul di Temerloh, Pahang, sebuah pagar penghalang gajah sedang dibina kerana laluan ECRL melalui kawasan ladang pertanian dan habitat gajah, bagi mengelakkan kemalangan antara haiwan dan tren. Namun, pembinaan pagar ini turut memberi kesan kepada pergerakan haiwan, khususnya laluan migrasi gajah yang telah digunakan sejak turun-temurun,” katanya.
Sehubungan itu, CAP menyeru agar pihak berwajib mengadakan rundingan dengan komuniti tempatan, pihak berkepentingan, NGO, jabatan hidupan liar, jabatan perhutanan, kerajaan tempatan, dan pihak berkuasa kereta api untuk mencari penyelesaian yang mengurangkan kesan sosial dan alam sekitar daripada pembinaan ECRL. – MalaysiaGazette