KOTA TINGGI – Majlis Daerah Kota Tinggi (MDKT) melancarkan Johor Fast Lane Majlis Daerah Kota Tinggi (JFL-MDKT) semalam dalam usaha memudah urusan dan menarik lebih banyak pelaburan masuk ke ke negeri ini.
Yang Dipertua MDKT, Muhamad Syahrizat Alwee berkata, pelaksanaan JFL akan memberi banyak manfaat seperti mencipta peluang pekerjaan baru, meningkatkan ekonomi serta dapat meningkatkan hasil pihak berkuasa tempatan (PBT) terbabit.
Beliau memberitahu, enam inisiatif menjadi teras utama melaksanakan JFL iaitu penyelarasan awal teknikal (projek brief), kelulusan secara serentak pemohon, kebenaran khas mula kerja awal, mohon lesen awal, pemasangan mesin awal dan penjimatan masa serta kos.
“Dengan melaksanakan enam inisiatif JFL akan menambah baik proses pemajuan terutamanya industri yang menekankan aspek mesra pelabur di daerah Kota Tinggi.
“Setakat ini, sebanyak empat projek berimpak tinggi telah diadakan sesi fasilitasi bersama-sama MDKT bagi menerangkan perancangan pemajuan yang akan dilakukan.
“Antaranya seperti projek ladang solar terapung oleh KPRJ, pemajuan data center dan hi tech park oleh JBB Builder, projek schedule waste hub oleh Kitar Selatan dan integrated sustainable palm oil complex oleh JCORP.
“Oleh itu, dalam merialisasikan inisiatif ini, perubahan budaya kerja di peringkat organisasi bagi menepati kehendak pelanggan terutamanya penggiat industri serta pelabur perlu dilakukan dan pada masa yang sama mematuhi peraturan-peraturan yang telah ditetapkan,” katanya berucap pada Mesyuarat Penuh MDKT, di sini, semalam.
Muhamad Syahrizat berkata, sehubungan itu, pembentukan sekretariat JFL-MDKT yang akan menjadi penyelaras utama dalam pelaksanaan inisiatif itu sangat penting bagi memantau dan memandu perlaksanaannya di MDKT pada keseluruhannya.
Beliau berharap, inisiatif yang diperkenalkan itu benar-benar boleh dijadikan pencetus pertumbuhan ekonomi di daerah ini.
“Saya berharap sekretariat JFL-MDKT yang telah dilantik dapat sama-sama membantu permudahkan urusan pemaju untuk mendapatkan kelulusan dari MDKT dan seterusnya dapat meningkatkan hasil MDKT,” katanya. – MalaysiaGazette