Tiga bekas penuntut UPNM yang dihukum gantung kerana membunuh seorang Pegawai Kadet Laut, Zulfarhan Osman Zulkarnain tiba untuk pendengaran rayuan akhir di Istana Kehakiman, Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 18 FEBRUARI 2025 (GAMBAR FAIL)

PUTRAJAYA – Enam bekas penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) terlepas hukuman gantung selepas Mahkamah Persekutuan hari ini mengembalikan hukuman penjara 18 tahun kerana menyebabkan kematian Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain.

Panel tiga hakim diketuai oleh Hakim Besar Malaya, Datuk Seri Hasnah Mohammed Hashim sebulat suara membenarkan rayuan akhir mereka untuk mengetepikan sabitan dan hukuman mati atas kesalahan membunuh Zulfarhan, lapan tahun lalu.

Beliau yang bersidang bersama-sama Datuk Nordin Hassan dan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan serta mengembalikan hukuman penjara 18 tahun yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi terhadap mereka.

Enam bekas pelajar tersebut ialah Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd Ali. Kesemuanya berusia 29 tahun.

Zulfarhan bergambar bersama keluarganya. foto Facebook Kementerian Pertahanan.

Hakim Hasnah ketika menyampaikan keputusan tersebut, mengulas keterangan saksi pendakwaan keenam (SP6), Dr. Salmah Arshad yang merumuskan kecederaan Zulfarhan, lazimnya boleh menyebabkan kematian.

Menurut hakim berkenaan, Dr. Salmah dalam sesi pemeriksaan utama bersetuju terhadap soalan pihak pendakwaan bahawa luka terbakar dan kesan lecur pada Zulfarhan, lazimnya boleh menyebabkan kematian.

“Pada asasnya SP6 bersetuju bahawa luka bakar yang meliputi 80 peratus badan mangsa, lazimnya menyebabkan kematian.

“Namun ketika disoal balas oleh peguam, saksi bersetuju bahawa luka bakar tahap satu, dua dan tiga itu tidak secara automatik mengakibatkan kematian,” ujarnya.

Hakim Hasnah selanjutnya memetik keterangan Dr. Salmah (ketika disoal balas) yang bersetuju bahawa berdasarkan luka bakar yang dialami Zulfarhan tidak semestinya akan menyebabkan kematian jika dirawat secukupnya.

Ujar hakim berkenaan, SP6 kemudian mengubah pernyataannya ketika disoal peguam dengan menyatakan kesan kebakaran 30 dan 50 peratus boleh menyebabkan kematian tetapi tidak semestinya mengakibatan mangsa meninggal dunia.

“Mahkamah berpendirian, keterangan SP6 itu tidak dipatahkan oleh pihak pendakwaan pada sesi pemeriksaan semula,” ujarnya.

Panel bersidang turut berpendapat, mereka perlu meneliti keseluruhan keterangan dan keterangan lain bagi menentukan isu kecederaan yang lazimnya boleh menyebabkan kematian, telah dibuktikan atau sebaliknya.

Ujar Hakim Hasnah, berhubung perkara ini, pertimbangan perlu diberikan kepada keterangan pakar iaitu saksi pembelaan ke-19 (SD19), Dr Rohayu Shahar Adnan, yang antara lain mempertikaian dapatan SP6.

Sehubungan itu, panel itu mendapati elemen kecederaan mangsa yang lazimnya menyebabkan kematian, tidak berjaya dibuktikan oleh pendakwaan melebihi tahap keraguan munasabah.

“Tambahan pula, mangsa meninggal dunia selepas 10 hari kejadian,” ujar beliau.

Justeru, peruntukan Seksyen 300(c) Kanun Keseksaan tidak dapat disandarkan oleh pihak pendakwaan untuk membuktikan kesalahan membunuh.

Oleh yang demikian, sabitan bagi kesalahan membunuh dan persubahatan membunuh (dihadapi Abdoul Hakeem) seperti yang diputuskan oleh Mahkamah Rayuan, tidak dapat dipertahankan.

Panel itu selanjutnya berpuas hati bahawa keterangan yang dikemukakan ketika perbicaran adalah mencukupi bagi membuktikan kesalahan di bawah Seksyen 304(a) iaitu menyebabkan kematian Zulfarhan.

Beliau berpendapat, panel di peringkat rayuan tidak mempunyai sebab untuk mengganggu keputusan hakim bicara yang mempunyai kelebihan audio visual di samping meneliti sendiri kelakuan saksi-saksi ketika memberi keterangan.

Mahkamah turut berpuas hati bahawa saksi-saksi ke-24 dan ke-25 iaitu Ahmad Senabil Mohamad dan SP25 Mohd Syafiq Abdullah juga bekas pelajar UPNM, kredibel dan boleh dipercayai.

Pada 23 Julai 2024, Mahkamah Rayuan menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap keenam-enamnya kerana membunuh Zulfarhan, selepas membenarkan rayuan silang pendakwaan bagi menghidupkan semula kesalahan bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dihadapi mereka sebelum ini.

Pada 2 November 2021, Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara 18 tahun terhadap semua enam pelajar itu, selepas mendapati mereka bersalah di bawah Seksyen 304 (a) kerana menyebabkan kematian Zulfarhan tanpa niat membunuhnya.

Bekas pelajar tersebut didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah bilik di blok penginapan Asrama Jebat, UPNM antara 4.45 pagi dan 5.45 pagi 22 Mei 2017. – MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here