KUALA LUMPUR – Penyanyi dan pelakon popular, Ayda Jebat telah dimasukkan ke hospital akibat mengalami slip disc ringan.
Pemilik nama sebenar Nurul Suhada Jebat itu menerusi sebuah hantaran di laman sosial Instagram semalam memaklumkan bahawa beliau kini sedang berehat dan menerima rawatan di hospital.
“Assalamualaikum semua, saya baru mengalami slip disc ringan dan kini saya perlu berehat sebentar dari melakukan aktiviti lasak.
“Para jururawat dan staf di sini kalau boleh nak pagar bilik kerana pesakit (Ayda) selalu melarikan diri ke mana-mana,” katanya dalam hantaran itu.
Ayda turut berkongsi bahawa beliau mengalami slip disc di bahagian cakera belakang dan meminta mereka yang pernah melalui sakit yang sama berkongsi tips untuk pulih dengan cepat.
“Terima kasih untuk mereka iaitu peminat dan kenalan yang mendoakan kesihatan dan tidak putus bertanya khabar kepadanya.
“Teruskan doa biar cepat sihat! Buat mereka yang pernah ada posterior disc, boleh tolong berkongsi bagaimana mahu pulih dengan segera.
“Salam Ramadhan juga buat semua,” ujarnya. – MalaysiaGazette