PASIR GUDANG – Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim tidak akan bertanding merebut jawatan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Johor atau sebarang jawatan dalam kepimpinan tertinggi pada pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Mei ini.
Bekas Pengerusi PKR Johor pada 2014 sehingga 2019 itu berkata, ini termasuk tidak bertanding jawatan di peringkat cabang pada April ini kerana mahu memberi peluang kepada pelapis dan pemimpin muda bermula daripada peringkat cabang sehingga peringkat tertinggi.
”Saya sudah berkhidmat dan mahu orang muda pula memberi sumbangan mereka. Masa saya sudah berlalu. Saya juga tidak bertanding atas faktor umur (sekarang berusia 74 tahun).
“Saya seru pemimpin PRK yang sudah veteran supaya beri laluan kepada orang muda. Saya tidak ada isu (sebab tidak bertanding),” katanya dalam sidang akhbar selepas meninjau masalah sampah dan longkang tersumbat di Bandar Permas Jaya di sini hari ini.
Pada 26 Januari lalu, PKR memutuskan pemilihan bagi jawatan Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Majlis Pimpinan Wanita Pusat (MPWP) dan Majlis Pimpinan Angkatan Muda Keadilan Pusat (MPAMKP) parti berkenaan, diadakan pada 24 Mei ini.
Setiausaha Agung PKR, Dr Fuziah Salleh berkata, pemilihan bagi jawatan di peringkat Cabang, Wanita Cabang dan Angkatan Muda Keadilan Cabang pula ditetapkan pada 11 hingga 20 April.
Katanya, perkara itu diputuskan MPP yang bermesyuarat pada 26 Januari lalu selepas meneliti beberapa cadangan daripada Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) berkait proses pemilihan Cabang dan Pusat bagi sesi 2025-2028.
Ketika ini, Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli merupakan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) bagi dua buah negeri iaitu Johor dan Wilayah Persekutuan sejak 2022.
Mengulas lanjut, Hassan berkata, pemilihan itu yang dilakukan sebelum pilihan raya umum (PRU) membuktikan PKR kini berada dalam kedudukan mantap dan percaya proses berkenaan juga tidak akan memecahbelahkan parti.
Berkenaan masalah sampah dan longkang tersumbat, beliau berkata, puncanya kerana peniaga, penduduk dan orang luar membuang sampah di belakang deretan kedai di bandar tersebut.
Katanya, terdapat juga peniaga restoran dan kedai makan tidak melakukan penyelenggaraan terhadap penapis minyak di belakang premis masing-masing dan melepaskan minyak yang kotor ke dalam longkang.
Pihak Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) pada masa sama katanya, tidak melakukan kerja-kerja penyelenggaraan mengikut masa yang dijadualkan manakala syarikat konsensi yang bertanggungjawab tidak menguruskan jadual kutipan sampah dengan baik.
“Apabila tersumbat air parit yang busuk akan mengalir keluar dan semasa hujan akan menyebabkan banjir kilat. Dalam menangani masalah ini kita perlukan kerjasama semua pihak sama ada peniaga, penduduk, MBJB atau syarikat konsensi yang bertanggungjawab.
“Masalah ini akan saya bawa kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (Nga Kor Ming) dan pihak MBJB selain mengutarakannya dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pembangunan Daerah Johor Bahru yang akan datang,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Kampung Senibong, Abd Rahman Moen berkata, masalah tersebut sudah berlarutan sejak lebih dua tahun lalu dan sudah diajukan kepada pihak bertanggungjawab tetapi sehingga kini tiada tindakan.
“Saya dimaklumkan kerja-kerja penyelenggaraan longkang di belakang premis masing-masing sukar dilakukan kerana ada peniaga yang sudah membuat struktur tambahan di bahagian belakang kedai mereka malah sehingga menutup saluran longkang sedia ada,” katanya.- MalaysiaGazette