KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan Pemuda MCA, Neow Choo Seong menegaskan pendidikan adalah asas pembangunan negara dan tidak seharusnya dijadikan isu politik yang boleh memecahbelahkan rakyat.
Beliau mengulas kenyataan Exco Pemuda UMNO yang mencadangkan penutupan sekolah vernakular, sambil menekankan bahawa isu pendidikan perlu dibincangkan secara rasional dan berlandaskan fakta, bukan emosi atau sentimen politik.
“Kita harus lebih matang dalam berhujah dan tidak terikut-ikut dengan gaya segelintir pemimpin yang gemar memainkan sentimen perkauman demi kepentingan politik semata-mata.
“Pemimpin Barisan Nasional (BN) perlu berpegang pada prinsip perjuangan parti yang menekankan kesederhanaan dan keharmonian nasional,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Choo Seong, prinsip BN sejak dahulu adalah integrasi bukan asimilasi, dan pendekatan inklusif dalam sistem pendidikan dan ekonomi telah terbukti membawa kemajuan pesat kepada negara.
Malah, beliau menekankan bahawa semakin ramai ibu bapa Melayu, termasuk pemimpin UMNO sendiri, memilih untuk menghantar anak mereka ke sekolah vernakular kerana kualiti pendidikan yang lebih tegas serta peluang mempelajari bahasa tambahan seperti Mandarin.
“Statistik menunjukkan bilangan pelajar Melayu di sekolah vernakular meningkat setiap tahun. Jika sistem ini benar-benar menghalang perpaduan, bagaimana kita mampu hidup dalam harmoni selama ini?” soalnya.
Choo Seong turut berkongsi pengalaman peribadi, di mana beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Hua Lian III di Taiping, namun tetap fasih dalam Bahasa Kebangsaan dan memahami kepelbagaian budaya di Malaysia.
“Saya tidak menghadapi masalah dalam penguasaan bahasa mahupun sensitiviti masyarakat majmuk. Ini membuktikan bahawa pendidikan vernakular bukan punca perpecahan kaum, sebaliknya sikap segelintir pemimpin yang suka memainkan sentimen perkauman dan agama adalah penyebab sebenar ketegangan,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau menyeru semua pemimpin BN agar tidak terperangkap dalam retorik politik yang boleh menjejaskan perpaduan nasional.
“Kita perlu menjadi pemimpin bertanggungjawab, progresif dan inklusif. Hak semua rakyat Malaysia perlu dipertahankan tanpa menidakkan hak orang lain yang telah dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan,” tegasnya. -MalaysiaGazette