Pengerusi SWCorp, Datuk Rizalman menyerahkan Plat Promosi kepada 135 peniaga sempena Kempen hargai makanan elak pembaziran bulan Ramadan di Bazar Ramadan Jalan Jujur Bandar Tun Razak, Cheras. Foto MUHD NA'IM, 09 APRIL 2022.

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan memperketat pemantauan keselamatan makanan sepanjang bulan Ramadan bagi memastikan kepatuhan terhadap Akta Makanan 1983 dan peraturan berkaitan.

Langkah ini melibatkan pemeriksaan ke atas bazar Ramadan, restoran, hotel, serta premis penyediaan makanan bagi mengelakkan risiko pencemaran makanan yang boleh menjejaskan kesihatan pengguna.

Menurut KKM, pemantauan ini telah dimulakan sebelum Ramadan dan merangkumi pemeriksaan terhadap sumber bahan mentah, tempat penyediaan makanan, serta peniaga yang dilesenkan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Selain itu, penguatkuasaan turut diperluaskan ke hotel yang menawarkan buffet Ramadan, premis pembekal bahan mentah, dan pengeluar ais bagi memastikan semua pihak terlibat dalam penyediaan makanan mematuhi standard kebersihan dan keselamatan makanan.

“KKM turut menasihatkan pengguna agar lebih berhati-hati dalam memilih makanan yang dibeli, terutama di bazar Ramadan.

“Pengguna disaran mengamalkan langkah berjaga-jaga seperti memeriksa makanan sebelum dimakan, memastikan makanan lebihan disimpan dengan betul, dan memanaskan makanan dengan sempurna sebelum dimakan semula.

“Makanan yang disimpan dalam peti sejuk juga tidak seharusnya melebihi tiga hari bagi mengelakkan risiko pencemaran,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, peniaga makanan di bazar Ramadan diingatkan agar memastikan makanan yang dijual sentiasa dalam keadaan bersih dan selamat.

Para peniaga diingatkan supaya tidak menyediakan makanan terlalu awal, menggunakan bekas makanan yang bersih dan bertutup, serta memakai pakaian perlindungan seperti apron dan penutup kepala ketika mengendalikan makanan.

Selain itu KKM turut menegaskan larangan penggunaan peralatan yang tidak sesuai untuk penyimpanan makanan, seperti akuarium sebagai bekas air balang atau tong sampah hitam untuk menyimpan bahan mentah.

“Penggunaan peralatan sebegini boleh mencemarkan makanan dan meningkatkan risiko kesihatan kepada pengguna.

“KKM akan terus menjalankan pemantauan dan penguatkuasaan berterusan sepanjang Ramadan bagi memastikan keselamatan makanan terjamin. Orang ramai yang mempunyai aduan berkaitan isu keselamatan makanan boleh menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri yang terdekat.

Aduan juga boleh disalurkan menerusi Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) di http://moh.spab.gov.my dan laman rasmi Facebook Program Keselamatan dan Kualiti Makanan (PKKM) di https://www.facebook.com/bkkmofficial. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here