KEPALA BATAS – Lebih 130 asnaf terpilih menerima sumbangan daging lembu secara percuma sempena sambutan Ramadan hasil inisiatif penganjur Karnival Mahabbah kali ke-17 di Bertam Square di sini, hari ini.
Penganjur karnival, Zaini Aboo Hassan berkata, dua ekor lembu ‘ditumbangkan’ bagi tujuan agihan kepada mereka yang memerlukan dalam kawasan berkenaan.

“Kita ingin berkongsi rezeki dengan asnaf menjelang Ramadan esok, supaya mereka turut merasai nikmat ibadah puasa dengan lebih sempurna,” katanya.
Tambah Zaini, selain sumbangan daging, karnival yang menghimpunkan lebih 300 usahawan bumiputera itu turut menyediakan pelbagai kemudahan termasuk ruang solat tarawih khas berhawa dingin bagi memudahkan pengunjung menunaikan ibadah.
“Pengunjung bertuah sepanjang karnival ini berpeluang memenangi hadiah istimewa termasuk sebuah kereta Perodua Axia dan tiga buah motosikal.
“Karnival Mahabbah kali ke-17 ini menyasarkan lebih 500,000 pengunjung sepanjang Ramadan selain menjadi platform utama dalam menggalakkan keusahawanan bumiputera serta aktiviti kebajikan kepada golongan memerlukan,” katanya. – MalaysiaGazette