KLUANG – Polis menahan seorang lelaki selepas disyaki terlibat menggunakan kad ATM milik individu lain di beberapa lokasi sekitar daerah ini, 28 Februari lalu.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, kes terbongkar selepas mangsa yang juga seorang lelaki tempatan membuat laporan polis pada pukul 5.59 petang hari kejadian.
“Mangsa menyedari kehilangan kad ATM miliknya sebelum mendapati kad tersebut telah digunakan tanpa kebenaran di beberapa lokasi sekitar Kluang. Akibat perbuatan itu, mangsa mengalami kerugian sebanyak RM377.10.
“Bertindak atas maklumat, Bahagian Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) IPD Kluang melancarkan siasatan serta berjaya mengesan dan menahan suspek di kawasan Skudai,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek yang berusia 40-an negatif dadah.
Katanya, suspek direman selama empat hari bermula hari ini hingga Selasa bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan kerana salah guna harta secara tidak jujur dan Seksyen 4(1)(a) Akta Jenayah Komputer 1997.
Pada masa sama, beliau mengingatkan orang ramai supaya lebih berwaspada menjaga keselamatan harta benda peribadi, terutama kad ATM dan maklumat kewangan, bagi mengelak disalahgunakan penjenayah.
Tambahya, sebarang maklumat berkaitan jenayah boleh disalurkan terus ke IPD Kluang menerusi talian 07-778 4222 atau hotline 07-776 6822.- MalaysiaGazette