KULAI – Tindakan akan dikenakan terhadap peniaga bazar Ramadan atau bazar Aidilftri di Johor yang mengaut untung ‘atas angin’ dengan menyewakan tapak mereka kepada orang lain dengan bayaran berlipat kali ganda.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Datuk Mohd Jafni Mohd Shukor berkata, permit peniagaan mereka akan dibatalkan jika berbuat demikian.
“Tindakan sama juga boleh diambil terhadap mana-mana persatuan atau badan bukan kerajaan (NGO) yang dilantik sebagai penganjur bazar tersebut. Mereka dilantik untuk menyelaras daripada segi penjagaan kebersihan dan sebagainya.
“Sekiranya kita dapati mereka bertindak mencari keuntungan dengan mengewakan sewa sehingga dua atau tiga kali ganda, saya tak akan teragak-agak mengarahkan untuk membatalkan permit mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Inisiatif Bandar Pintar dan Mampan Bandar Putra dan Indahpura di Majlis Perbandaran Kulai (MPKu) di sini hari ini.
Mohd Jafni berkata, pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh daerah di negeri ini juga tidak mengeluarkan lesen kepada peniaga warga asing untuk berniaga di bazar Ramadan dan bazar Aidilftri.
Katanya, penguat kuasa di setiap PBT akan membuat pemantauan sepanjang Ramadan ini bagi memastikan tidak ada warga asing yang berniaga secara haram.
“Dasar kita di peringkat PBT jelas yang mana tidak ada mengeluarkan lesen kepada peniaga asing. Ini antara lain bagi melindungi peniaga tempatan.
“Namun, isu yang timbul apabila ada warga asing ini berkahwin dengan orang tempatan dan menggunakan pasangan hidup mereka untuk mendapatkan lesen dan memohon permit.” ujarnya.- MalaysiaGazette