KUALA LUMPUR – Satu laporan polis telah diterima hari ini berhubung kematian seekor anak anjing yang tular di media sosial di kawasan Bukit Rawang Jaya, Rawang, Selangor baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, pihaknya menerima laporan kejadian itu daripada seorang lelaki tempatan berusia 53 tahun, jam 10.21 pagi tadi.
“Pengadu telah menerima video itu menerusi aplikasi Whatsapp daripada rakannya yang memaparkan insiden perselisihan faham antara seorang wanita dan lelaki.
“Ia berkaitan kematian seekor anak anjing di kawasan terbabit dan hasil siasatan mendapati, kejadian berlaku pada 27 Februari lalu sekitar jam 6.45 petang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, siasatan awal mendapati haiwan itu adalah anjing liar yang tidak bertuan dan kes terbabit akan dirujuk kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Gombak.
Terdahulu, satu rakaman video berdurasi tiga minit tiga saat tular memaparkan seorang lelaki bertikam lidah dengan beberapa individu lain berhubung kematian seekor anak anjing.
Dalam video itu kedengaran suara perakam video mendakwa lelaki terbabit membunuh seekor anak anjing berwarna hitam yang terkulai di atas jalan. – MalaysiaGazette