Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35) akan menjadi pemacu utama dalam transformasi ekonomi Bumiputera, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Menurut beliau, ia akan terlaksana melalui pendekatan tersusun dan berasaskan resolusi Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) 2024.

Tambah Pengerusi KEB 2024 itu, kejayaan pelan tersebut bergantung kepada pelaksanaan strategi berteraskan kepada tiga elemen utama iaitu penyertaan, pemilikan dan penguasaan Bumiputera dalam ekonomi negara.

“Kejayaan pelan ini bakal mencorakkan masa depan negara yang lebih inklusif, mampan, dan berdaya saing,” katanya menerusi kenyataan.

Jelas beliau, penyertaan bBumiputera akan diperkukuhkan menerusi peningkatan kemahiran dan pendidikan berkualiti tinggi.

Manakala, pemilikan ekonomi pula dipertingkatkan dengan penyediaan pembiayaan perniagaan dan insentif pelaburan yang kondusif bagi membolehkan lebih banyak syarikat Bumiputera berkembang dengan kukuh dan mampan.

“Dengan memastikan golongan ini menguasai bidang berkemahiran tinggi serta teknologi terkini bagi bersaing di peringkat global.

“Dalam aspek penguasaan ekonomi, usaha akan ditumpukan kepada pemerkasaan mobiliti sosial bagi memastikan akses kepada peluang pekerjaan berkualiti tinggi, selain memperkukuh ekosistem ekonomi bumiputera melalui dasar yang lebih proaktif serta sokongan berterusan daripada agensi berkaitan,” katanya lagi.

Zahid berkata, Majlis Ekonomi Bumiputera (MEB) akan memantau perkembangannya secara menyeluruh menerusi laporan berkala yang sistematik.

Selain itu tambahnya, Kementerian Ekonomi, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU), dan Majlis Amanah Rakyat (MARA) akan bertindak sebagai sekretariat bersama bagi menjamin keberkesanan setiap inisiatif.

Terdahulu katanya, hari ini genap setahun KEB 2024 yang telah diadakan pada 29 Februari hingga 2 Mac tahun lalu menyaksikan terbentuknya hala tuju dan pendekatan baharu yang dilihat bakal menambah baik agenda pembangunan bumiputera.

PuTERA35 yang dilancarkan 19 Ogos tahun lalu merupakan satu kerangka tindakan holistik untuk memperkukuh ekonomi Bumiputera dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Antara sasaran utamanya bagi Bumiputera menjelang 2035 adalah penyertaan dalam pekerjaan mahir meningkat kepada 70 peratus dan pemilikan ekuiti individu dan agensi mandat mencapai 30 peratus.

“Selain itu penguasaan dalam ekuiti syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) mencapai 20 peratus; sebanyak 97 peratus graduan Bumiputera mendapat pekerjaan; penghapusan kemiskinan tegar dalam kalangan Bumiputera; peningkatan nisbah gaji dan pendapatan isi rumah bumiputera; pemilikan rumah dalam kalangan bumiputera meningkat kepada 75 peratus.

“Sumbangan perusahaan bumiputera kepada KDNK mencapai 15 peratus dn jurang pendapatan antara Bumiputera dan kaum lain dikurangkan,” katanya lagi.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here