KUALA LUMPUR – Sentimen pasaran yang kekal berhati-hati mengenai dasar tarif Amerika Syarikat (AS) dijangka terus mempengaruhi ringgit untuk diniagakan dalam julat RM4.45 hingga RM4.47 berbanding dolar AS minggu depan.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, berikutan itu, data ekonomi utama AS yang akan diumumkan pada Jumaat depan, termasuk indeks ISM untuk sektor pembuatan dan bukan pembuatan serta laporan Gaji Bukan Perladangan (NFP) akan terus menjadi tumpuan.
Jangkaan awal konsensus meletakkan NFP pada 133,000 untuk Februari, susut daripada 143,000 pada bulan sebelumnya manakala kadar pengangguran kekal stabil pada 4.0 peratus.
“Ringkasnya, data ekonomi AS kekal berdaya tahan, sekali gus tidak mempengaruhi Rizab Persekutuan AS (Fed) untuk mengubah pendirian mengenai dasar monetari semasa yang akan hanya menyaksikan dolar AS diniagakan tinggi,” katanya kepada Bernama.
Bagi urus niaga minggu ini, ringgit diasak oleh kegusaran berkaitan perang perdagangan yang meruncing dan menjejaskan sentimen pasaran.
Ringgit juga diniagakan rendah berbanding mata wang utama lain.
Ini termasuk rendah berbanding pound Britain kepada 5.6174/6237 daripada 5.5851/5895, susut berbanding yen Jepun kepada 2.9682/9717 daripada 2.9346/9371 pada minggu lepas dan turun berbanding euro kepada 4.6362/6414 daripada 4.6236/6273.
Ringgit bagaimanapun diniagakan bercampur-campur berbanding kebanyakan mata wang ASEAN.
Berbanding rupiah Indonesia, ringgit mengukuh kepada 268.7/269.1 daripada 270.7/271.0 dan naik berbanding baht Thailand kepada 13.0455/0670 daripada 13.1354/1528.
Namun, ringgit susut berbanding dolar Singapura kepada 3.3069/3108 daripada 3.3021/3049 dan rendah berbanding peso Filipina kepada 7.69/7.70 daripada 7.62/7.63. – BERNAMA