Pengerusi SC, Datuk Mohammad Faiz Azmi dan Pengerusi MCMC, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din komited bersama-sama tangani penipuan dalam talian.

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan memperhebat usaha membanteras penipuan dalam talian melalui pemantauan kawal selia yang lebih ketat.

Dalam satu kenyataan bersama, kedua-dua badan pengawal selia itu berkata, kerjasama ini bertujuan melindungi pelabur dan pengguna di Malaysia susulan peningkatan kes penipuan serta aktiviti tidak berlesen di platform dalam talian.

Kata kenyataan itu, perkembangan teknologi telah menyebabkan peningkatan mendadak dalam kes penipuan dan aktiviti haram di internet.

Malah sepanjang tahun 2024, SC menerima 4,859 aduan dan pertanyaan awam berkaitan pelbagai penipuan serta aktiviti tidak berlesen.

“Dengan bantuan SKMM, sebanyak 66,507 kandungan berkaitan penipuan berjaya dipadamkan pada tahun tersebut, manakala dalam tempoh 1 Januari hingga 26 Februari tahun ini sahaja, sebanyak 19,200 kandungan telah diturunkan.

“SC dan MCMC akan memperkukuh kerjasama dalam aspek penguatkuasaan, pencegahan penipuan serta penggunaan kecerdasan buatan (AI) bagi mempercepatkan pengesanan dan pemadaman kandungan berbahaya.

“Kami juga akan bekerjasama dengan penyedia perkhidmatan dan pihak berkepentingan lain bagi memastikan tindakan lebih pantas terhadap ancaman siber,” katanya.

Dalam pada itu, kata SC dan MCMC, pihaknya sedang meneroka peluang untuk mempergiat kempen kesedaran awam mengenai penipuan dalam talian, termasuk menerusi ‘Kempen Keselamatan Dalam Talian’ yang dilancarkan oleh Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil baru-baru ini.

Menurut Pengerusi SC, Datuk Mohammad Faiz Azmi, dengan taktik penipuan yang semakin canggih, kerjasama erat antara SC dan MCMC dapat meningkatkan koordinasi sumber serta memperkukuh langkah pengesanan, pencegahan, dan penguatkuasaan.

Manakala Pengerusi MCMC, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din pula menegaskan, pihaknya akan terus memperkasakan keselamatan dalam talian menerusi pendekatan menyeluruh yang merangkumi inisiatif kawal selia berimpak tinggi, kerjasama pelbagai agensi, serta kempen kesedaran awam.

Difahamkan kerjasama ini juga akan memastikan perkongsian maklumat lebih berkesan, memperkukuh dasar strategik, serta meningkatkan usaha pencegahan penipuan dalam talian, termasuk skim pelaburan palsu dan jenayah siber kewangan. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here