JAKARTA- Umat Islam di Indonesia akan mula berpuasa pada Sabtu (1 Mac) manakala Singapura, Thailand dan Kemboja akan mula berpuasa pada Ahad (2 Mac).
Dalam satu sidang media, Menteri Agama Indonesia Nasaruddin Umar mengumumkan tarikh 1 Ramadan 1446 Hijrah adalah bersamaan Sabtu, 1 Mac 2025.
Pengumuman itu dibuat setelah selesainya persidangan Isbat (persidangan penentuan tarikh Ramadan) pada Jumaat malam, yang melibatkan pegawai kementerian, Majlis Ulama Indonesia, anggota Dewan Perwakilan Rakyat Indonesia, serta wakil dari kedutaan besar di Indonesia. Turut hadir Atase Agama di Kedutaan Besar Malaysia, Mohd Shamsuri Ghazali.
Indonesia adalah negara dengan majoriti Muslim terbesar di dunia, dengan 87 peratus daripada 282 juta penduduk di republik ini beragama Islam.
Di Singapura, Mufti Dr Nazirudin Mohd Nasir berkata mengikut kiraan hisab, bulan berada pada kedudukan jarak lengkung 5.1 darjah dan ketinggian 4.3 darjah ketika matahari terbenam pada petang Jumaat, sekali gus gagal memenuhi kriteria imkanur rukyah yang telah dipersetujui oleh negara anggota MABIMS (Menteri-Menteri Agama Negara Brunei Darussalam, Indonesia, Malaysia dan Singapura).
“Oleh itu, anak bulan Ramadan tidak dapat dilihat di atas ufuk Singapura ketika matahari terbenam petang tadi dan esok adalah hari penggenap bulan Syaaban sebanyak 30 hari.
“Sukacita saya mengisytiharkan bahawa awal Ramadan pada tahun ini jatuh pada lusa, Ahad bersamaan 2 Mac 2025,” katanya dalam klip video yang dimuat naik di laman sosial Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS), pada Jumaat.
Sempena bulan Ramadan, beliau mengajak semua umat Islam untuk menggandakan segala amal kebajikan dalam bulan suci itu.
Sementara itu, Ketua Sheikhul Islam Thailand, Arun Boonchom mengumumkan umat Islam di negara itu akan mula berpuasa pada Ahad (2 Mac) selepas tiada anak bulan Ramadan kelihatan semasa proses pencerapan di beberapa lokasi di wilayah selatan, selepas matahari terbenam pada Jumaat.
Arun membuat pengumuman tersebut di Pusat Pentadbiran Hal Ehwal Islam Kebangsaan Chalermprakiart di wilayah Samut Prakan yang turut disiarkan secara langsung di stesen televisyen dan radio.
Sementara itu, Majlis Tertinggi Hal Ehwal Agama Islam Kemboja mengumumkan pada petang Jumaat bahawa umat Islam di kerajaan itu akan mula berpuasa pada Ahad.
Sekitar 300,000 umat Islam akan menyambut Bulan Suci Ramadan di negara yang majoritinya beragama Buddha.
— BERNAMA