Sebanyak 35 agensi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi, wakil Kerajaan serta peneraju AI dan wakil industry menyertai AI DAY Pendidikan Tinggi 2025.

NILAI – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) berhasrat untuk menerajui inisiatif membangunkan Kecerdasan Buatan (AI) berkaitan syariah yang berpotensi membantu dalam penyelesaian isu yang dihadapi oleh umat Islam.

Antara isu asas yang sering menjadi perbincangan dalam kalangan umat Islam di Malaysia dan global adalah pembahagian faraidh, solat, puasa, haji dan halal.

USIM yakin kemampuan teknologi AI dapat merealisasikan matlamat penubuhan universiti dalam membantu menjamin kemaslahatan ummah.

Justeru itu, USIM terbuka untuk bekerjsama dengan pihak industri dan agensi Kerajaan yang berminat untuk bersama-sama universiti dalam usaha menggerak, mewujud dan membangunkan AI syariah sebagai satu bentuk tanggungjawab sosial bersama dan berterusan kepada ummah.

Selain itu, melalui penggunaan AI, digitalisasi kampus yang dihasratkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan dapat dilaksanakan melalui kecekapan dalam penyampaian ilmu, peningkatan keberkesanan pendidikan, pengurangan kos operasi universiti, peluang pembelajaran yang lebih fleksibel serta pemerkasaan penyelidikan dan pembangunan bakat digital masa hadapan.

Memetik hantaran di Facebook Rasmi KPT, pada masa kini, beberapa universiti penyelidikan diberikan fokus bidang khusus Kecerdasan Buatan untuk diterajui seperti Univerisiti Malaya (AI dalam perubatan); Universiti Putra Malaysia (Keselamatan siber dan kriptologi); Universiti Sains Malaysia (Semikonudktor); dan Universiti Kebangsaan Malaysia (penterjemahan Bahasa Melayu).

Hasrat USIM untuk menerajui AI Syariah ini dinyatakan bersempena penganjuran Hari Kecerdasan Buatan Pendidikan Tinggi 2025 (AI Day) yang berlangsung selama dua hari pada 27 dan 28 Februari bertempat di Bandar Baru Bangi. Selangor.

Majlis itu dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud dan beliau dalam ucapannya turut menegaskan komitmen Kerajaan untuk melahirkan 200,000 pakar kecerdasan buatan menjelang 2030 melalui MY AI NEXUS.

Beliau turut menekankan kepentingan AI dalam meningkatkan kecekapan operasi universiti serta memperkasa pembelajaran digital.

Pada majlis ini turut dilancarkan buku ‘Ketahanan Digital – Mengemudi Transformasi Dalam Persekitaran Dinamik’ yang menghimpunkan penulisan bertemakan teknologi maklumat dari lapan buah universiti hasil usaha Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) dan diterbitkan oleh USIM

Program AI DAY Pendidikan Tinggi 2025 merupakan suatu usahasama USIM, KPT dan Majlis Pengarah-Pengarah Teknologi Maklumat dan Komunikasi Institusi Pengajian Tinggi Awam (MAPITA) bersama wakil Kerajaan dan industri dalam membantu institusi pendidikan tinggi mengenalpasti dan mengadaptasi teknologi AI di agensi masing-masing.

Ini penting agar perancangan jangka masa pendek dan panjang AI yang dibangunkan di agensi mampu menghasilkan inovasi berdaya tinggi diperingkat global.

Turut hadir dalam majlis perasmian tersebut adalah Naib Canselor USIM, Prof. Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani; Timbalan Pengerusi MAPITA, Ts. Mohd Rashid Abu Bakar; Timbalan Pengarah (Pusat Pembangunan Kepimpinan) AKEPT, Prof. Madya Dr. Azmul Fahimi Kamaruzaman; serta Pengarah Urusan Serantau Amazon Web Services bagi Sektor Awam ASEAN, Eric Conrad. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast