KUALA LUMPUR – Pelakon Bront Palarae telah dilantik sebagai Profesor Adjung di Fakulti Seni Sinematik (FCA), Universiti Multimedia Malaysia (MMU).
Institusi pengajian tinggi swasta itu berkata, pemilihan Bront atau nama sebenarnya Nasrul Suhaimin Saifuddin dibuat atas faktor kredibiliti, dedikasi serta pengalaman luas di arena seni.
“Bront Palarae ialah seorang penggiat profesional dalam industri hiburan Malaysia dengan berpengalaman selama lebih dua dekad di bidang lakonan, penerbitan dan seni kreatif.
“Beliau sudah membintangi lebih 70 filem merentasi tujuh negara, termasuk memfokuskan karier seninya di tanah air, Indonesia serta Thailand.
“Seorang tokoh terkemuka dalam industri filem, Bront sudah berkhidmat dalam Jawatankuasa Penasihat Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas),” kata kenyataan itu.
Bront juga aktif dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bertaraf antarabangsa iaitu Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF).
“Dedikasinya terhadap masyarakat terserlah menerusi peranan sebagai duta UNICEF Malaysia bagi kempen, Janji Saya Kepada Kanak-kanak dari 2014 hingga 2015 yang memperjuangkan hak dan kesejahteraan kanak-kanak.
“Pengalaman industri Bront yang luas dan komitmen positifnya terhadap kempen sosial kemanusian secara tidak langsung memantapkan profil kerjayanya,” ujarnya.
Selain Bront, 47, dua penggiat seni terkenal dalam bidang animasi iaitu Nizam Razak dan Usamah Zaid Yassin turut dilantik MMU sebagai Profesor Adjung di fakulti sama. – MalaysiaGazette